Anda di sini

Ajaran Millah Abraham: Pasangan suami isteri dipenjara enam bulan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri semalam masing-masing dipenjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mengaku bersalah bersubahat mengembangkan kepercayaan agama dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim @ Abraham.

Hakim Syarie Ibrahim Deris turut memerintahkan Mohamad Harizal Kamaruddin, 37, menjalani hukuman penjara dua tahun manakala isterinya Nur Ridah Osman, 27, menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda itu.

Mohamad Harizal dan Nur Ridah tidak hadir pada prosiding semalam dan mahkamah memerintahkan waran tangkap yang dikeluarkan pada 29 Jan lepas dilanjutkan ke atas mereka.

Mahkamah juga menangguhkan hukuman ke atas tertuduh lain, Kamarudin Annuar, 48, yang mengaku bersalah atas tuduhan mengembangkan ajaran itu selepas Kamarudin memfailkan notis rayuan berhubung keputusan mahkamah menolak penarikan balik pengakuan bersalahnya pada 5 Feb lepas.

Pada 10 Dis 2014, Kamarudin, Mohamad Harizal dan Nur Ridah disabitkan terhadap pertuduhan itu selepas mereka mengaku bersalah, namun pada 8 Jan lepas mereka menukar pengakuan kepada tidak bersalah.

Bagaimanapun, pada 29 Jan lepas, mahkamah menolak pengakuan tidak bersalah ketiga-tiga tertuduh itu dan mengekalkan sabitan ke atas mereka.

Mengikut pertuduhan, Kamarudin, pengusaha bengkel, didakwa mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain agama Islam yang dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim@Abraham di satu premis perniagaan di Jalan 2/142A, Megan Phoenix, Jalan Cheras di sini antara jam 9 malam dan 9.25 malam, 20 Okt tahun lepas.

Sementara itu, Mohamad Harizal dan Nur Ridah didakwa bersubahat mengambil bahagian dalam majlis mengembangkan kepercayaan itu di tempat dan pada masa yang sama.

Pertuduhan terhadap Kamarudin dibuat mengikut Seksyen 5, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan terhadap Mohamad Harizal dan Nur Ridah pula dibuat mengikut Seksyen 43(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) yang membawa hukuman sama.

Sementara itu, bagi empat tertuduh lain iaitu Johan Haruna, 41, Mahamad Azhari Tajudin, 44, Anuar Zainal, 48, dan Kamalia Mohamed Taib, 35, mahkamahmembenarkan permohonan bantahan awal mereka untuk meminda pertuduhan yang dihadapi mereka.

Dalam keputusannya, Hakim Syarie Ibrahim berkata pihak pendakwaan tidak menyatakan secara terperinci bentuk kesalahan dalam pertuduhan selain memberi peluang kepada tertuduh untuk memahami butiran pertuduhan terhadap mereka.

“Mahkamah berpuas hati dengan bantahan awal ini dan ia diterima. Dengan ini mahkamah meminta pihak pendakwaan untuk membuat pindaan terhadap pertuduhan,” katanya.

Mahkamah juga memerintahkan waran tangkap ke atas enam lagi tertuduh dilanjutkan berikutan mereka masih tidak hadir sepanjang prosiding selepas didakwa pada 21 Okt tahun lepas.

Mereka ialah Zakaria Mat Kasa, 36; Mohd Arif Abd Aziz, 34; Amirol Hafiz Mohd Samad, 25; Aizul Farikh Zainal Abidin, 40; Heffy Syamsuar, 33, dan Abdul Azim Abdullah, 30.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Zainor Rashid Hassin manakala peguam Zaini Zainol mewakili Kamarudin, Mohamad Harizal, Nur Ridah, Johan, Mahamad Azhari, Anuar dan Kamalia. — Bernama

Advertisement