Anda di sini

Tunku Ismail puji keupayaan JDT

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara sehingga ke pusingan kelayakan kedua Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2015 merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata peluang bertanding dalam kejohanan elit kelab Asia itu merupakan satu keistiwewaan walaupun mereka gagal melangkah ke pusingan seterusnya.

“Kita tidak pernah meletakkan sasaran yang tinggi bagi Asian Champions League, kerana secara realistiknya, kita merupakan pasukan yang masih mentah berbanding pasukan-pasukan handalan Asia,” demikian menurut baginda seperti dipetik menerusi Facebook rasmi JDT; Johor Southern Tigers, semalam.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, berada dalam AFC dan memberikan saingan terbaik sudah merupakan suatu pencapaian untuk kita,” tegas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor.

JDT kalah 0-3 kepada kelab Liga Perdana Thailand, Bangkok Glass FC pada pusingan kelayakan kedua di Stadium Leo, Bangkok, semalam.

Mereka sebelum itu menang 2-1 ke atas Bengaluru FC dari India pada pusingan kelayakan pertama ACL di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 4 Februari lepas.

Kekalahan itu menyaksikan skuad ‘Harimau Selatan’ bakal bersaing bersama Pahang dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 yang bermula 24 Feb ini. — Bernama

Advertisement