Anda di sini

SUKMA: SBBA siapkan lapan ‘badang’

Advertisement

KUCHING: Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) telah memuktamadkan lapan atlet yang akan mewakili Sarawak pada SUKMA 2015 di Kuala Lumpur.

Mereka ialah Noordin Hazmi, Abdul Razak, Mohd Shahrul Anuar, Henry Kwan Hou dari Kuching, Macbeth Tubang Buda, Carson Ho Lieen Wen (Sri Aman), Jacob Jinggut Vincent dan Kelvin Ling Zeng Tung (Miri).

Macbeth merupakan anak kepada jaguh bina badan dari Sarawak, Buda Anchah yang dilantik sebagai jurulatih skuad remaja negeri sambil dibantu Lim Soon dan Cheyenne Moris.

Presiden SBBA, Datuk Wee Hong Seng percaya persediaan awal sangat penting meskipun terdapat spekulasi mengatakan SUKMA kali ini akan ditangguh berikutan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia terjejas akibat banjir.

“Kita perlu bersiap sedia, semakin awal semakin baik. Kita tidak mahu menunggu tarikh sebenar SUKMA 2015 untuk memulakan latihan.

“Selain itu, atlet yang telah kita pilih juga boleh memulakan persiapan untuk menghadapi kejohanan lain seperti Mr Sarawak atau Malaysia,” katanya semasa memperkenalkan atlet terpilih di gimnasium Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Isnin lepas.

Menurut Wee, beliau berasa sangat gembira dengan kesudian Buda untuk membantu skuad Sarawak walaupun sibuk dengan persiapan untuk menghadapi Sukan SEA pada Mei ini.

“Kita akan memulakan latihan berpusat dalam tempoh terdekat termasuk kawalan diet dan pengambilan makanan tambahan.

“Seperti yang saya selalu tegaskan, SBBA tidak akan membiarkan atlet menggunakan bahan terlarang untuk meningkatkan pretasi dan kita mahu memupuk polisi sebegini dalam diri atlet ketika mereka masih muda,” katanya.

Wee pada masa yang sama melahirkan rasa gembira kerana jumlah penyertaan kali ini meningkat kepada lapan peserta berbanding hanya empat pada edisi sebelumnya.

Tambahnya, beliau tidak mahu memberi tekanan kepada atlet memandangkan Sarawak merupakan juara bertahan Mr Malaysia pada tahun lepas.

Namun, kataya ia satu cabaran kepada atlet muda dan berharap mereka dapat menghadiahkan sesuatu kali ini.

“Saya percaya, atlet yang kita pilih kali ini cukup bersedia untuk memberikan yang terbaik,” tambahnya.

Sementara itu, pengurus skuad bina badan Sarawak, Andy Ismail berkata latihan akan diadakan setiap Isnin hingga Jumaat.

Berhubung tarikh sebenar SUKMA 2015, Andy menjelaskan Majlis Sukan Negara (MSN) akan membuat pengumuman rasmi pada 16 Februari ini.

Sarawak menggondol gangsa dalam acara bina badan pada SUKMA 2013 menerusi Mohd Alzrin Abdul Ghani.

Advertisement