Anda di sini

Skuad bola sepak MAKSAK Sri Aman akan adakan sesi pemilihan, 12-13 Feb

Advertisement

SRI AMAN: Pasukan Bola Sepak Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sri Aman akan mengadakan pemilihan pemain di Stadium KPSU baharu bermula dari 12 hingga 13 Februari, jam 4.30 petang.

Pengurus Pasukan Bola Sepak MAKSAK Sri Aman, Cassidy Morris berkata, tujuan pemilihan itu bagi membariskan pemain yang akan mewakili pasukan Bahagian Sri Aman pada Pertandingan Bola Sepak MAKSAK Sarawak Antara Bahagian 2015 di Miri pada 28 Februari hingga 1 Mac nanti.

Bagaimanapun sesi pemilihan ini hanya dibuka kepada kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan (lelaki sahaja) yang bertugas di Bahagian Sri Aman tidak kurang dari tempoh enam bulan dari tarikh pertandingan itu, jelas beliau.

“Tiada had umur dikenakan bagi tujuan sesi pemilihan ini. Jadi kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan di Sri Aman dipelawa untuk hadir di lokasi dan waktu yang telah ditetapkan,” katanya kepada Utusan Borneo, di sini, semalam.

Cassidy turut memberitahu bahawa kakitangan yang mempunyai bakat dalam sukan bola sepak tidak harus melepaskan peluang untuk menyertai sesi pemilihan ini.

“Jadi jangan sia-siakan bakat anda. Jadikan ia sebagai peluang untuk mengasah bakat permainan masing-masing selain membantu mengharumkan bidang bola sepak di Sri Aman,” kata Cassidy.

Advertisement