Anda di sini

Skop perlindungan P1MPIN diperluas

Advertisement

Melindungi premis dan peralatan yang terlibat dengan kebakaran dan kilat

PUTRAJAYA: Skop perlindungan Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN) diperluas dengan memasukkan perlindungan untuk premis dan peralatan yang terlibat dengan kebakaran dan kilat sehingga RM2,000.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata pembayaran khairat kematian juga ditambah baik dengan pembayaran akan dibuat dalam tempoh 24 jam selepas dimaklumkan kepada Takaful Ikhlas.

Menurutnya, sebanyak RM5.6 juta diperuntukkan tahun ini untuk menampung P1MPIN bagi melindungi lebih sejuta penjaja dan peniaga kecil berdaftar.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan penjaja dan peniaga kecil dan akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi serta persatuan bagi menambah baik program-program dalam usaha untuk mengukuhkan pembangunan sektor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian P1MPIN antara KPDNKK, Bank Rakyat dan Takaful Ikhlas Berhad di sini kelmarin.

Hasan berkata sebelum ini skop perlindungan P1MPIN merangkumi kematian akibat kemalangan dan semula jadi, keilatan kekal, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan, khairat kematian serta jenayah ragut dan rompakan dengan jumlah perlindungan antara RM250 hingga RM5,000.

Menurutnya, sebanyak 105 tuntutan berjumlah RM603,765.50 telah dibuat sejak P1MPIN diwujudkan pada 1 Jan 2013 dengan kebanyakannya adalah tuntutan kematian.

Sementara itu, mengulas laporan kenaikan harga gas memasak sehingga lebih RM5 setong, Hasan berkata ia disebabkan caj mengikut jarak penghantaran yang dikenakan oleh peniaga.

Menurutnya, KPDNKK menetapkan harga gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram pada harga subsidi RM26.60 setong namun caj penghantaran adalah tertakluk kepada peniaga.

“Saya dimaklumkan di apartmen atau rumah pangsa, peniaga kenakan caj mengikut tingkat dan jika pengguna mahukan harga asal, mereka terpaksa angkut sendiri,” kata Hasan.

Hasan berkata peniaga juga bertindak menaikkan harga LPG disebabkan kekurangan tong gas akibat aktiviti penyeludupan ke negara jiran.

Selain itu, KPDNKK akan mengkaji semula harga LPG serta beberapa aspek lain industri itu memandangkan ia tidak pernah dikaji sejak hampir 14 tahun lepas.

“Kementerian akan mengeluarkan cadangan merangkumi pelbagai aspek dan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai perkara ini, minggu depan,” katanya. — Bernama

Advertisement