Anda di sini

Armadillo FC adakan ‘reunion’ menerusi bola sepak

Advertisement

KUCHING: Sebagai inisiatif untuk mempertemukan semula bekas pelajar Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri, satu perlawanan persahabatan antara Armadillo FC dan Veteran Yayasan FC akan diadakan esok (13 Februari) bertempat di padang sintetik Kompleks Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah.

Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki berkata perlawanan tersebut lebih kepada ‘reunion’ pemain bola sepak Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri pada 1981 yang ketika itu dikenali sebagai Armadillo FC.

“Idea untuk mengadakan ‘reunion’ ini telah lama kita rancang, cuma masa tidak mengizinkan kerana kebanyakan bekas pemain Armadillo FC ini menetap di seluruh negeri.

“Justeru, menerusi perlawanan bola sepak ini kita berharap dapat berjumpa semula bekas pelajar Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri,” katanya semasa sidang media di Kompleks Yayasan Sarawak semalam.

Abu Bakar juga percaya bekas pemain Armadillo FC masih mempunyai kemahiran meskipun sudah lanjut usia dan ia pastinya menjanjikan perlawanan menarik antara dua pasukan tersebut.

“Kita menyeru mana-mana bekas pelajar Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri yang ada di seluruh negeri untuk datang menyaksikan perlawanan itu nanti,” jelas Abu Bakar yang merupakan pemain bek pada zaman kegemilangan Armadillo FC.

Selepas perlawanan tersebut, bekas pelajar dan guru kolej turut dijemput menyertai makan malam bertempat di Merdeka Palace pada jam 7.30 malam.

Advertisement