Anda di sini

Anwar masih Ketua Pembangkang dan MP

Advertisement

GEORGE TOWN: Setia-usaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata  Datuk Seri Anwar Ibrahim masih Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh walaupun kini ditahan dalam penjara.

Beliau menjelaskan Anwar hanya akan lucut kelayakan sebagai Ketua Pembangkang dan MP selepas habis tempoh 14 hari dari tarikh berkuat kuasa sesuatu penghakiman atau hukuman mahkamah terhadapnya seperti termaktub dalam Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau masih Anggota Parlimen untuk 14 hari ini … masih Ketua Pembangkang. Sekiranya beliau memohon (memfailkan petisyen) peng-ampunan, kena tunggu sampai (proses) pengampunan dibereskan, ini termaktub dalam perlembagaan,” kata-nya pada sidang akhbar di sini semalam.

Lim berkata beliau pernah melalui perkara sama apabila dipenjarakan pada tahun 1998 mengikut Akta Hasutan.

“Apabila saya membuat petisyen pengampunan saya masih Anggota Parlimen untuk hampir setahun. Apabila pengampunan ditolak oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, maka (baru) saya hilang dan lucut kelayakan saya.

“Jadi, jangan buat spekulasi. Beliau masih Anggota Parlimen dan Ketua Pembangkang …tetapi dalam penjara,” katanya

Kelmarin, Mahkamah Per-sekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008. Beliau kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan me-nyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Sementara itu ketika dita-nya sama ada DAP lebih berhak untuk memimpin pakatan pembangkang buat masa ini, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang  menegaskan Anwar masih pemimpin pakatan pembangkang.

Berhubung PAS yang mahu mengadakan mesyuarat khas dalam kalangan parti pakatan pembangkang bagi memutuskan calon yang layak menggantikan Anwar sebagai ketua pembangkang, Lim berkata: “Saya hanya boleh bercakap bagi pihak DAP. Saya tidak mahu komen apa PAS kata”. — Bernama

Advertisement