Anda di sini

Keputusan kes liwat Anwar dibuat secara berimbang dan objektif

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menggesa semua pihak terlibat supaya menghormati proses undang-undang dan keputusan penghakiman semalam yang mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam.

Seorang jurucakap kerajaan Malaysia berkata: “Hakim-hakim berkenaan membuat keputusan mereka hanya setelah menimbang semua bukti secara berimbang dan objektif.”

“Dalam kes ini, semua proses dilaksanakan dengan lengkap dan komprehensif yang memakan masa beberapa tahun. Proses itu kini selesai dan kami menyeru semua pihak terbabit supaya menghormati proses undang-undang dan keputusan penghakiman,” kata jurucakap itu menerusi kenyataan tiga perenggan di sini semalam.

Kenyataan itu sebagai mengulas tentang rayuan akhir Anwar yang diketepikan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, apabila Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang menganggotai panel lima hakim, menyampaikan penghakiman semalam.

Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih di Bukit Damansara, di sini pada 26 Jun, 2008.

Jurucakap kerajaan itu turut menyatakan bahawa Malaysia mempunyai badan kehakiman yang bebas, dan sebelum ini terdapat banyak keputusan yang membawa hukuman terhadap tokoh kanan kerajaan.

Laporan polis terhadap Anwar pula dibuat seorang individu secara peribadi iaitu oleh pekerja dan pembantu peribadi Anwar, bukan oleh kerajaan, kata jurucakap itu.

“Sebagai mangsa serangan seksual yang serius, dia berhak membawa kesnya ke mahkamah,” kata jurucakap itu. — Bernama

 

Advertisement