Anda di sini

Kekosongan kerusi diumum selepas SPR terima surat rasmi Dewan Rakyat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik menerima surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata hanya SPR yang boleh mengumumkan tarikh kekosongan kerusi berkenaan.

“Dalam tempoh sepuluh hari daripada tarikh kekosongan, SPR akan mengumumkan tarikh-tarikh penting termasuk tarikh bagi mengadakan pilihan raya kecil kerusi tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seorang anggota parlimen akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

Abdul Aziz berkata jika mengikut Perlembagaan Persekutuan, Anwar memang sudah tidak layak sebagai seorang anggota parlimen kerana hukuman yang diterima lebih daripada setahun.

“Namun SPR tidak boleh isytihar lagi kekosongan selagi tidak terima surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat,” katanya sambil menjangkakan surat rasmi akan diterima dalam tempoh dua tiga hari lagi.

Jelas beliau sekiranya Anwar berhasrat ingin kembali bertanding dalam pilihan raya, beliau (Anwar) hanya boleh berbuat demikian selepas lima tahun daripada tarikh dibebaskan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Anwar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi. — Bernama

 

Advertisement