Anda di sini

Iqbal mahu balas kepercayaan Alberts

Advertisement

KUCHING: Penjaga gol, Mohd Iqbal Suhaimi mahu membalas kepercayaan yang diberikan Ketua Jurulatih, Robert Alberts kepadanya dengan memastikan gawang pasukan Sarawak tidak dibolosi dengan mudah.

Iqbal yang menggantikan penjaga gol utama, Mohd Fadzley Rahim akibat kecederaan tidak menghampakan Alberts apabila menggalas tugas dengan baik ketika Sarawak terikat 3-3 dengan Felda United pada perlawanan pertama Liga Super 2015, Sabtu lalu.

Menurut Iqbal, keyakinannya kian memuncak selepas diturunkan pada perlawanan pertama dan bersedia untuk memberikan persembahan terbaik pada perlawanan seterusnya.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik pada perlawanan seterusnya,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Padang C semalam.

“Ketika ini tahap keyakinan saya semakin baik dan bersedia untuk menggalas tugas jika terus diberikan kepercayaan oleh jurulatih.”

Menurut Iqbal, keserasiannya dengan pemain pertahanan juga memberinya tonik dan keyakinan untuk terus beraksi dengan baik pada perlawanan akan datang.

Sementara itu, Alberts turut memuji persembahan Iqbal sambil menambah beliau telah menunjukkan permainan yang sangat cemerlang dalam menahan asakan penyerang Felda United.

“Iqbal telah membuktikan dirinya selaku penjaga gol yang berpengalaman.

“Saya percaya beliau mampu pergi dengan lebih jauh jika mengekalkan prestasi cemerlang seperti ini pada perlawanan akan datang.“

Sarawak akan menentang Terengganu di Stadium Negeri pada Sabtu, 14 Februari ini.

 

Advertisement