Anda di sini

Enggan berputih mata

Advertisement

GIGIH: Pemain Piala Presiden Sarawak menjalani latihan di Stadium Sarawak sebagai persiapan menghadapi Pahang petang ini.

Skuad Piala Presiden berazam bangkit hadapi Pahang petang ini

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Skuad Piala Presiden Sarawak tidak mahu berputih mata apabila melayan kunjungan Pahang pada perlawanan kedua saingan Kumpulan A di Stadium Negeri petang ini.

Ketua Jurulatihnya, Johnny Dominicus menjelaskan kekalahan 1-3 pada perlawanan pertama di tangan T-Team tempoh hari tidak memadam hasrat anak-anak buahnya untuk memastikan tiga mata mutlak milik Sarawak.

“Pemain cukup bersedia dan berazam tidak mahu melepaskan tiga mata penting.

“Saya memang mengharapkan pemain mampu meraih kemenangan lebih-lebih lagi kita bermain di hadapan penyokong sendiri,” katanya semalam.

Menurut Johnny, pemain banyak menyedari kesilapan masing-masing selepas kekalahan pada perlawanan pertama.

Justeru, beliau menuntut fokus dan berharap pemain dapat mengelak daripada melakukan kesilapan mudah pada perlawanan seterusnya.

Bagaimanapun, jurulatih dari Sabah itu akui Sarawak bakal berdepan tugas getir kerana Pahang bukan lawan mudah dan turut mengintai untuk mencuri mata dari sini.

Sarawak akan turun tanpa penjaga gol utama Jimmy Enggai dan pemain sayap Tommy Mawat selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan pada perlawanan pertama.

Turut direhatkan kapten pasukan, Badrul Azhar Adenan dan Mark Damien.

Skuad ketika ini menghuni tangga kelapan dalam carta Kumpulan A.

 

Advertisement