Anda di sini

Anwar dibawa ke penjara Sungai Buloh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan semalam terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, telah dibawa ke Penjara Sungai Buloh petang semalam.

Ketua pembangkang itu dipercayai dibawa ke Penjara Sungai Buloh dengan menaiki kenderaan jenis Nissan X-Trail.

Kenderaan itu turut diiringi lapan kenderaan lain dan dilihat masuk ke pekarangan penjara selepas meninggalkan Mahkamah Persekutuan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang ketika dihubungi Bernama mengesahkan Anwar dibawa ke penjara itu pada jam 3.49 petang semalam.

Suasana di luar Kompleks Penjara Sungai Buloh bagaimanapun tenang dengan segelintir individu dipercayai penyokong Anwar mengambil peluang merakam gambar kenderaan yang dinaiki Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.

Ketibaan Anwar dikawal ketat kira-kira 60 pegawai dan anggota daripada Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada jam 5.40 petang, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat tiba di Penjara Sungai Buloh untuk menyerahkan beg peribadi milik Anwar berwarna biru gelap.

Turut kelihatan di luar pekarangan penjara ialah Anggota Parlimen Subang R. Sivarasa dan ketika ditemui pemberita, beliau (Sivarasa) berkata Anwar tidak dibenarkan untuk menerima pelawat semalam.

“Esok pagi (hari ini) saya akan jumpa Anwar, waktu lawatan belum ditentukan lagi,” katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Keputusan itu disampaikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim. — Bernama

 

Advertisement