Anda di sini

Susah ke sekolah

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus dan Nick Fletcher//

DAIF: Keadaan Jalan Hulu Julau memerlukan perhatian pihak berkuasa.

Murid, guru di lima sekolah terpaksa lalui jalan becak di Hulu Julau, warga SK Kambug, Padawan harungi laluan berdenai, titi buluh selepas jambatan mereka roboh

PAKAN: Murid dan guru di lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dayu, SK Semawang, SK Hulu Entaih, SK Nanga Kara dan SK Nanga Kota menghadapi kesulitan apabila terpaksa berhadapan jalan raya becak di Hulu Julau.

Dickson Dilem dari Rumah Ragai, Rantau Jerenang, Dayu berkata selain pihak sekolah, jalan tersebut turut digunakan penduduk dari kira-kira 20 rumah panjang di Hulu Julau.

“Kami menghadapi masalah itu sejak sekian lama apatah lagi sekarang musim hujan.

“Jalan raya Hulu Julau ini merupakan satu-satunya penghubung kami ke kawasan luar.

“Sekarang jalan ini tidak dapat digunakan kenderaan kecil dan sangat berbahaya,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, penduduk serta warga pendidik termasuk murid sangat berisiko ketika menggunakan jalan itu tetapi mereka tiada pilihan lain.

Katanya jalan itu berisiko tinggi pada waktu malam.

“Disebabkan keadaan jalan becak, ramai tidak berani memandu kerana takut tayar kereta terperangkap dalam lumpur,” ujarnya.

Justeru, mereka merayu pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tindakan segera terhadap jalan terbabit.

“Tidak tahu sampai bila kami terus menghadapi masalah ini.

“Namun, ia dapat diselesaikan sekiranya ada pihak tampil membantu kami.

“Disebabkan keadaan jalan ini juga ekonomi kami di sini turut terkena impaknya,” jelas beliau.

Sementara itu di Kuching, guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kambug kini kehilangan satu-satunya kemudahan penting untuk pergi ke sekolah apabila jambatan yang menjadi laluan utama mereka roboh sepenuhnya.

Keadaan itu juga menyebabkan mereka terputus laluan penghubung untuk pergi ke sekolah.

Menurut Penolong Kanan 1 SK Kambug Mogun Batai, jambatan berkenaan roboh pada 6 Februari lepas setelah ia mula senget akibat runtuhan tanah semasa banjir pada 18 Januari lalu.

Namun, apa yang menyedihkan mereka ialah harapan agar jambatan itu diperbaiki segera seakan-akan dipandang sebelah mata oleh pihak berkuasa bertanggungjawab.

“Jambatan sudah menyembah bumi tetapi belum juga apa-apa tindakan diambil,” katanya ketika ditemu bual, semalam.

Mogun menjelaskan bahawa keadaan jambatan tersebut pada awalnya sudah dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan segera namun ia terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kami berasa terkilan kerana perkara ini tidak dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Disebabkan keadaan itu, beliau memberitahu bahawa guru dan murid termasuk ibu bapa yang menghantar anak-anak terpaksa mengharungi laluan berdenai dan titi buluh untuk pergi ke sekolah.

Tambahnya, walaupun hampir semua murid tinggal di asrama, keadaan itu tetap menyukarkan mereka lebih-lebih lagi bagi murid prasekolah di mana mereka tidak tinggal di asrama dan perlu dihantar oleh ibu bapa setiap hari ke sekolah.

“Dalam keadaan seperti ini, kami terutama guru, murid prasekolah dan ibu bapa mereka berasa sedih apabila perlu mengharungi laluan yang becak, licin dan sukar untuk pergi ke sekolah setiap hari,” katanya.

Sehubungan itu, Mogun berharap agar perkara berkenaan mendapat perhatian segera daripada pihak bertanggungjawab.

“Saya berharap masalah ini diatasi segera dan minta supaya pemimpin turun padang untuk melihat keadaan sebenar,” katanya.

SK Kambug yang terletak di daerah Padawan dekat sini, mempunyai seramai 146 murid dan 14 guru.

MENYEMBAH BUMI: Sebuah jambatan yang menjadi laluan murid dan guru SK Kambug kini roboh sepenuhnya.

BECAK, LICIN DAN SUKAR: Beginilah keadaan jalan denai yang dibuat sendiri oleh penduduk kampung dan guru sebagai laluan untuk pergi ke sekolah.

TIADA PILIHAN: Ibu bapa dan anak masing-masing terpaksa meniti titi buluh untuk pergi ke SK Kambug disebabkan jambatan yang menjadi laluan mereka sudah roboh.

 

Advertisement