Anda di sini

Selangor kutip lebih RM582 juta zakat tahun lepas

Advertisement

SHAH ALAM: Kutipan zakat di Selangor tahun lepas mencecah RM582.1 juta melepasi sasaran RM560 juta dan meningkat sebanyak 13 peratus daripada RM517.3 juta pada 2013.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata daripada jumlah kutipan tahun lepas itu, RM561.6 juta adalah zakat harta sementara bakinya zakat fitrah.

“Jumlah pengeluar zakat harta bagi tahun 2014 meningkat 11 peratus, iaitu seramai 263,411 orang berbanding tahun 2013 iaitu 237,847 orang.

“Daripada jumlah itu, 46,102 orang merupakan pembayar baru zakat harta di Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata pada tahun lepas MAIS melalui LZS telah mengagihkan wang zakat sebanyak RM595.1 juta kepada golongan asnaf – peningkatan sebanyak 28 peratus daripada RM463.5 juta pada tahun sebelumnya.

“Seramai 830 keluarga juga berjaya didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin pada 2014, menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diperkenalkan sejak empat tahun yang lepas,” katanya.

Mohamad Adzib berkata sehubungan itu, LZS memohon kerjasama orang ramai untuk turut serta menyalurkan maklumat berkaitan individu atau keluarga yang memerlukan bantuan daripada zakat.

Orang ramai boleh melayari portal LZS, WWW.ZAKATSELANGOR.COM.MY bagi menyalurkan maklumat berkenaan.

“Ini merupakan domain baharu portal LZS menggantikan domain sebelum ini WWW.E-ZAKAT.COM.MY.

“Portal ini boleh dimuat turun secara percuma di telefon pintar,” katanya. — Bernama

 

Advertisement