PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menerima kunjungan hormat pemimpin penting China di sini dalam usaha memperkukuh hubungan kedua buah negara.
Najib bertemu anggota jawatankuasa pusat Biro Politik Parti Komunis China (CPC) Meng Jianzhu dan delegasinya selama sejam di pejabatnya di sini.
Najib dan Meng, yang juga setiausaha jawatankuasa politik dan Suruhanjaya Hal Ehwal Perundangan CPC, membincangkan pelbagai isu untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia dan China, peluang-peluang kerjasama ekonomi, hubungan perdagangan, kestabilan dan pertahanan bersama serantau.
Turut hadir duta khas perdana menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting dan duta besar China di Malaysia, Huang Huikang.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Ong berkata Meng telah menyampaikan mesej penting Presiden China Xi Jinping dan perdana menteri China Li Keqiang kepada perdana menteri berhubung kerjasama di antara kedua buah negara.
“Meng dihantar oleh Xi ke Malaysia bagi mengukuhkan lagi semua kerjasama yang telah sedia terjalin dan juga mengemas kini perkembangan tertentu demi manfaat bersama kedua-dua negara.
“China juga mengesahkan sokongan dan kerjasama yang kuat dengan Malaysia. Ia akan terus menggalakkan pelabur dan pelancong China datang ke Malaysia,” katanya.
Ong berkata Malaysia dan China akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$160 bilion (RM528 bilion) menjelang 2017, walaupun dengan perkembangan ekonomi global yang mencabar.
Ong berkata Najib juga mengulangi kenyataannya bahawa Malaysia akan meneruskan dasar mesranya dengan China dan menyambut kedatangan pelabur dan pelancong ke Malaysia.
Tahun lepas, Malaysia dan China menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik di antara kedua buah negara. — Bernama