Anda di sini

MIC perlu adakan pemilihan semula semua jawatan

Advertisement

PUTRAJAYA: MIC perlu mengadakan semula pemilihan bagi semua jawatan termasuk peringkat cawangan dan bahagian bermula April hingga Julai ini bagi mengelak pembatalan pendaftaran parti itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah memutuskan pendirian itu bagi memastikan isu pertikaian dalam pemilihan barisan kepimpinan parti kaum India itu dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Berikutan keputusan RoS itu, katanya MIC perlu mengadakan pemilihan semula peringkat cawangan pada April ini diikuti jawatan presiden dan peringkat bahagian pada Jun ini.

Pemilihan sayap Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC perlu diadakan dalam tempoh dari April hingga Jun ini, katanya.

“Pemilihan Timbalan Presiden, Naib Presiden, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) serta Perhimpunan Agung perlu diadakan pada Julai ini,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata anggota CWC yang dipilih bagi penggal 2009-2013 akan memegang jawatan sebagai anggota CWC Sementara sehingga proses pemilihan semula itu selesai sepenuhya.

Menurutnya, anggota CWC Sementara itu dikhendaki menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Raya bagi mengendalikan segala urusan pemilihan semula parti itu sehingga selesai.

Beliau berkata hanya senarai pemilih dan cawangan yang ditubuhkan pada 2012 sahaja boleh diguna pakai untuk pemilihan semula itu.

Justeru, katanya, 800 cawangan baharu yang ditubuhkan pada tahun lepas adalah tidak sah dan tidak boleh terlibat dalam pemilihan semula ini.

“Proses pemutihan hendaklah dijalankan untuk memastikan hanya cawangan-cawangan yang sah dan layak sahaja mengambil bahagian dalam pemilihan semula tersebut,” katanya.

Ahmad Zahid berkata MIC juga perlu mengemukakan senarai keseluruhan bahagian dan cawangan dalam tempoh yang ditetapkan kepada RoS.

Beliau berkata notis pemberitahuan mengenai pemilihan semula bertarikh 6 Feb itu telah dihantar kepada Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Katanya Palanivel juga mempunyai kuasa untuk membuat pelantikan baharu seperti Setiausaha Agung atau Bendahari Agung.

Ahmad Zahid berkata kegagalan MIC mengambil tindakan sewajarnya boleh menyebabkan tindakan pembatalan dikenakan terhadap parti itu dibawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966.

Sementara Ketua Pengarah RoS, Mohammad Razin Abdullah, yang turut hadir pada sidang media itu, berkata presiden parti itu boleh membuat pelantikan baharu sekiranya setiausaha agung telah meletak jawatan atau meninggal dunia.

Bagaimanapun, katanya pelantikan baharu oleh presiden perlu mendapat persetujuan CWC yang dipilih pada 2009.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota CWC dalam perhimpunan agung MIC di Melaka pada November 2013.

Dalam surat bertarikh 5 Dis 2014, RoS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.

Pada Rabu lepas, para pemimpin MIC bersetuju supaya pemilihan semula parti itu diadakan selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak. — Bernama

 

Advertisement