Anda di sini

Mahkamah dengar rayuan kes bunuh Sosilawati pada 18 Mei

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menetapkan 18 Mei untuk mendengar rayuan bekas peguam dan tiga pekerjanya yang disabitkan serta dijatuhi hukuman mati dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain empat tahun lepas.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Aziah Ali menetapkan lima hari mulai 18 Mei untuk mendengar rayuan itu.

Beliau turut mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengemukakan penghujahan bertulis dan ringkasannya masing-masing kepada setiausaha hakim yang berkenaan sebelum 27 April bagi membolehkan mereka (hakim) membaca penghujahan itu.

Rayuan itu disebut hari ini di hadapan panel terdiri daripada Hakim Aziah, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Seri Zakaria Sam.

Sementara itu, mahkamah membenarkan permohonan peguam Rosal Azimin Ahmad untuk menarik diri daripada mewakili perayu keempat, R. Kathavarayan.

Rosal Azimin memberitahu mahkamah beliau dilantik oleh mahkamah untuk mewakili Kathavarayan tetapi dimaklumkan kelmarin bahawa Kathavarayan mendapatkan sendiri khidmat peguam Hisyam Teh Poh Teik, untuk mewakilinya.

Hisyam, yang turut hadir dalam prosiding mahkamah semalam mengesahkan beliau diminta Kathavarayan untuk mewakilinya pada Jumaat lepas.

Aziah turut menetapkan 9 Mac untuk mendengar permohonan Kathavarayan untuk memasukkan alasan tambahan dalam petisyen rayuannya dan mengarahkan Hisyam supaya memfailkan permohonan itu sebelum 4 Mac.

Pada 23 Mei, 2013, N. Pathmanabhan, 45, dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 23, R. Matan, 24, dan Kathavarayan, 35, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam kerana melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir merumuskan soal tanah adalah motif utama pembunuhan Sosilawati disebabkan ketidakupayaan Pathmanabhan untuk menjelaskan pembayaran cek yang dikeluarkan kepada Sosilawati.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis menjumpai kesan bakar di belakang ladang itu, dan apabila menggali kawasan terbakar itu, polis menemui beberapa tulang yang kemudiannya disahkan pakar sebagai tulang manusia yang telah rentung, menunjukkan mereka dibakar pada darjah suhu amat tinggi.

Peguam Manjeet Singh Dhillon mewakili Pathmanabhan, Gurbachan Singh bagi Thilaiyalagan dan Amer Hamzah Arshad bagi Matan. Hadir bagi pihak pendakwaan adalah pasukan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin. — Bernama

 

Advertisement