Anda di sini

Kehakiman syariah: Gambia minat bekerjasama dengan Malaysia

Advertisement

PUTRAJAYA: Gambia berminat untuk bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi mengukuhkan lagi sistem kehakiman syariah di negara itu.

Sambil mengakui Malaysia mempunyai sistem kehakiman syariah yang sangat sistematik dan standard, Menteri Keadilan Gambia, Mama Fatimah Singhateh semalam menjemput pegawai JKSM untuk melatih kakitangan kehakiman di negaranya.

“Kehadiran kami di sini bukan sahaja untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua negara tetapi juga untuk mendapatkan sokongan teknikal bagi membangunkan sistem syariah di Gambia.

“Saya dimaklumkan bahawa JKSM mempunyai pengalaman hebat dalam sistem syariah dan kami perlu banyak belajar dengan anda (JKSM) dalam membangunkan perundangan kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JKSM, Tan Sri Ibrahim Lembut di sini.

Mama Fatimah berkata terdapat 90 peratus umat Islam daripada jumlah penduduk di Gambia dan negara itu mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia terutamanya dalam latar belakang syariah.

Sehingga kini, JKSM telah menjalin kerjasama dengan pelbagai negara berkaitan sistem kehakiman syariah termasuk Maldives, Sudan, Brunei, Afrika Selatan dan Majlis Syariah United Kingdom. — Bernama

 

Advertisement