Anda di sini

JKJR perluas kempen di IPTA, IPTS

Advertisement

Beri kesedaran kepada golongan muda mengenai keselamatan jalan raya

SUNGAI PETANI: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan memperluaskan program bersama komuniti di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dalam usaha memberi kesedaran kepada golongan muda mengenai keselamatan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarahnya Abdul Haris Lakar berkata, kemalangan yang menyebabkan kematian golongan muda merugikan negara kerana mereka ialah pelapis yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.

“Kita mahu program ini diperluaskan di institusi pengajian tinggi, kerana kebanyakan pelajar ada yang memandu kereta dan menunggang motosikal. Kita mahu sampaikan mesej mengenai cara pemanduan dan pemakaian selamat semasa memandu.

“Kita mahu mereka sedar nyawa mereka dihargai kerana satu kehilangan kita kerugian RM1.2 juta, sedangkan mereka ini bakal pemimpin negara,” katanya dalam sidang media semalam.

Abdul Haris berkata demikian selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya bersama JKJR di Asian Institute of Medicine, Science and Technology (Aimst) University, Bedong, di sini.

Katanya, JKJR menyasarkan sekurang-kurangnya satu program bersama komuniti diadakan di setiap tahun di negeri-negeri dengan JKJR mengkaji masalah dan mencari penyelesaian bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Kempen sepanjang tahun 2015 pula akan diperluaskan lagi merangkumi kesedaran mengenai kemajuan teknologi maklumat dan budaya ‘texting’ semasa pemanduan yang boleh membahayakan nyawa,” katanya.

Selain itu menurutnya, JKJR juga mahu pengguna mempraktikkan disiplin dan budaya berhemah semasa berada di jalan raya, mematuhi peraturan dan menghormati pemandu lain.

“Bilangan kenderaan meningkat setiap hari, kemudahan semakin baik justeru fokus kita akan lebih kepada ‘human factor’,” katanya.

Sasaran JKJR menurut Abdul Haris ialah mengurangkan sebanyak 50 peratus kadar kematian di seluruh negara menjelang 2020, selain menurunkan kadar kematian iaitu dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

Turut hadir, Pengarah JKJR Kedah Nik Ahmad Syazwan Nik Azman dan Naib Canselor AIMST Prof Dr M Ravichandran. — Bernama

 

Advertisement