Anda di sini

CIDB disaran pantau kawasan pembinaan elak biak aedes

Advertisement

JOHOR BAHARU: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) disarankan agar terus memantau kawasan pembinaan terutamanya di Johor memandangkan punca denggi banyak tertumpu di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pihak CIDB seharusnya membuat pemantauan terhadap kawasan pembinaan dan menasihatkan pihak pemaju supaya lebih bijak menangani isu kebersihan di tapak pembinaan bagi mengelak berlakunya pembiakan nyamuk aedes secara berleluasa.

“Kita telah sarankan pada CIDB, jikalau terdapat tempat-tempat pembiakan aedes hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan yang telah dilakukan, mereka mempunyai kuasa menasihati pemaju untuk menghentikan operasi tapak projek pembinaan sehingga kawasan bersih,” katanya kepada pemberita di Gelang Patah, di sini semalam.

Terdahulu, beliau melawat kediaman kakitangan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Sultan Abu Bakar, di sini, memandangkan lokasi itu merekodkan lima wabak denggi berulang tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata sebuah jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi menangani wabak denggi yang semakin meningkat di negeri ini.

Ayub berkata Johor mencatat sebanyak 6,324 kes denggi iaitu peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding 2013, dengan purata kes sebanyak 119, setiap minggu.

Sebanyak 25 kes kematian dilaporkan tahun lepas, sama jumlahnya pada tahun 2013, katanya. — Bernama

 

Advertisement