Anda di sini

Pindah tapak Pasar Tani Mega Muar masih dalam perbincangan

Advertisement

MUAR: Cadangan untuk memindahkan tapak Pasar Tani Mega di sini ke satu tempat yang lebih selesa masih dalam perbincangan, kata Anggota Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

Razali berkata walaupun terdapat beberapa cadangan untuk menempatkan pasar tani berkenaan ke satu kawasan di Jalan Junid di sini, namun ia masih di peringkat perbincangkan dengan beberapa pihak.

“Tapak cadangan itu adalah milik beberapa agensi kerajaan dan kita dalam perbincangan untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

“Cadangan lain adalah menempatkannya di satu kawasan di Stadium Sultan Ibrahim iaitu kawasan bersebelahan tapak sedia ada ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan melawat pasar tani berkenaan di sini, semalam.

Pasar Tani Mega yang beroperasi sejak empat tahun lalu itu mendapat bantahan penduduk setempat yang mendakwa lokasinya kurang sesuai kerana terletak dalam kawasan perumahan yang menyebabkan kesesakan.

Terdapat kira-kira 120 peniaga di pasar tani berkenaan yang dikunjungi lebih 1,000 orang pada setiap Ahad.

Sementara itu tinjuan di pasar berkenaan mendapati kebanyakan harga barangan segar dan mentah seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan telah diturunkan sebanyak 20 peratus membabitkan pengurangan antara 20 sen dan RM1.

Penurunan harga itu selari dengan pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa ia sebagai usaha kerajaan mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak.

Semalam, Ismail Sabri berkata menerusi ‘Program Jualan Turun Harga Pasar Tani’, kadar penurunan harga adalah antara lima hingga 20 peratus melibatkan 72 jenis barang dan produk berasaskan pertanian segar, kering dan diproses membabitkan semua 577 pasar tani seluruh negara. — Bernama

Advertisement