Anda di sini

OKU penglihatan diberi peluang jadi usahawan FAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan akan diberi peluang menjadi usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu mereka meningkatkan pendapatan.

Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata bagi tujuan itu, FAMA akan menyediakan tapak berniaga di 577 pasar tani sedia ada yang beroperasi di seluruh negara kepada golongan berkenaan untuk memulakan perniagaan.

“Saya lihat mereka perlu diberi peluang dalam perniagaan di pasar tani ini. Sekiranya mereka tidak mempunyai barangan untuk berniaga, mereka boleh menjual produk keluaran FAMA berserta produk agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Mini Karnival-Menerokai Keusahawanan Pemerkasaan Kehidupan anjuran Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (PERKUM) dengan kerjasama FAMA.

Badruddin berkata sebagai permulaan, FAMA akan memberi khemah gerai secara percuma dan tidak akan mengenakan sebarang caj sewaan tapak kepada golongan berkenaan untuk berniaga di pasar tani.

Mengulas lanjut, Badruddin berkata OKU berkenaan perlu menjadi anggota PERKUM dan mendaftar sebagai usahawan FAMA terlebih dahulu bagi membolehkan mereka mendapat tempat menjalankan perniagaan di tapak pasar tani.

Katanya selain itu, FAMA akan mengadakan kelas latihan usahawan kepada golongan berkenaan bagi membantu mereka berjaya dalam bidang itu.

“Kita akan adakan seminar perniagaan supaya mereka nampak fokus ke mana mereka hendak pergi, peruntukan apa yang layak menerima bantuan…budaya niaga inilah yang harus kita suntik kepada mereka…saya mahu mereka berdiri (dan) duduk sama dengan orang lain,” katanya.— Bernama

Advertisement