Anda di sini

Lebih 400 hektar kawasan paya di Pahang berpotensi dimajukan

Advertisement

TEMERLOH: Jabatan Perikanan Pahang mengenal pasti lebih 400 hektar kawasan paya terbiar di negeri ini yang berpotensi untuk dimajukan sebagai pusat penternakan ikan.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Adnan Husein berkata paya itu jika dimajukan secara terancang dengan mengunakan kaedah moden, ia mampu memberi pulangan hasil yang lumayan kepada pengusahanya.

Katanya, ikan ternakan paya kini mempunyai pasaran baik di dalam dan luar negara, malah ada kalanya bekalan ikan tidak dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“Jabatan Perikanan bersedia membekalkan benih-benih ikan dan khidmat nasihat kepada mereka yang berminat mengusahakan ternakan ikan dalam paya terbiar,” katanya.

Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pesta Menangkap Ikan di Estet Ikan Paya Kampung Cempaka di sini semalam, yang disertai 400 peserta.

Beliau juga berkata sejak enam tahun lalu, lebih 150 hektar paya terbiar di negeri ini telah dimajukan sebagai pusat ternakan ikan dengan penyertaan 112 peserta.

Antara kawasan terlibat ialah Paya Cantik yang melibatkan keluasan 69 hektar, Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Paya Lanar (25 hektar) dan Paya Rantau Panjang (10 hektar).

Selain itu, Adnan juga berkata pihaknya membekal lebih 1.2 juta benih pelbagai anak ikan kepada penternak ikan di negeri ini, dalam tempoh antara 2012 hingga tahun lalu.

“Dalam tempoh sama, lebih 2.5 juta benih anak ikan pelbagai seperti patin, jelawat, baung dan kelah dilepaskan ke beberapa sungai, khususnya Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Semantan dan Sungai Bera,” katanya.

Adnan menambah jabatan itu mempunyai pusat penetasan benih ikan di Kampung Perlok Ulu Cheka, Jerantut dan Bukit Tinggi Bentong. — Bernama

 

Advertisement