Anda di sini

Keramat Mall: Inisiatif kerajaan tukar wajah pasar lama kepada moden

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemindahan peniaga Pasar Keramat, Jalan Datuk Keramat ke kompleks perniagaan Keramat Mall merupakan inisiatif yang diambil kerajaan bagi menukar wajah pasar yang dahulunya kotor kepada suatu tempat yang lebih bersih dan moden.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata melalui tinjauan beliau di Pasar Keramat, kawasan itu dipenuhi sampah dan menjadi tempat pembiakan tikus yang boleh membawa penyakit kepada orang ramai.

“Saya hairan kenapa orang ramai masih mahu pergi ke Pasar Keramat. Saya takut mereka akan dijangkiti penyakit kencing tikus dan sebagainya.

“Tempat itu jadi sumber pembiakan tikus,” katanya ketika diminta mengulas keengganan segelintir peniaga Pasar Keramat berpindah ke kompleks perniagaan Keramat Mall.

Tengku Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Komuniti Ceria Wilayah Persekutuan di perkarangan pusat beli-belah KL Sogo di sini semalam.

Katanya, Pasar Keramat berusia hampir 40 tahun dan sudah tiba masanya pasar tersebut dipindahkan ke lokasi yang mempunyai pelbagai kemudahan lain yang bukan sahaja memudahkan orang ramai malah tidak mengganggu lalu lintas.

“Pasar itu sudah lama. Takkan kita nak hidup seperti 40 tahun dahulu. Kerajaan mahu mengubah dengan membina pasar moden kepada orang ramai,” tambahnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata semua penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan ditawarkan Kad Ceria Wilayah Persekutuan bertujuan meringankan kos perbelanjaan keperluan harian.

Beliau berkata setiap ahli berdaftar akan mendapat potongan harga dan mata ganjaran di beberapa pasaraya Mydin terpilih seluruh negara.

“Kad Komuniti Ceria boleh diakses secara online atau melalui aplikasi di dalam telefon pintar dan Ceria WP Apps,” katanya. — Bernama

 

Advertisement