Anda di sini

Guna kaedah lambakan turunkan harga barang

Advertisement

Harga tidak naik mendadak jika barang melambak-lambak

BALIK PULAU: Kerajaan disaran agar melaksanakan kaedah lambakan sebagai alternatif untuk menurunkan harga barang.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kaedah itu perlu bagi memastikan golongan peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna selain membolehkan pengguna menikmati harga barang lebih rendah.

“Apabila kita menggunakan kaedah lambakan dalam memasarkan barang, peniaga tidak boleh menaikkan harga secara mendadak disebabkan lambakan barang yang banyak.

“Kita lambakkan barang-barang di pasar tidak kira apa juga barang sama ada makanan, pakaian dan sebagainya. Jika dilambak banyak-banyak maka harga barang akan turun dan murah,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan Ops Catut bersama para pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri di Pasar Awam Balik Pulau di sini semalam.

Turut sama Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri (1) Chin Ching Chung.

Dr Hilmi berkata beliau menyifatkan tindakan memboikot peniaga merupakan tindakan negatif, sebaliknya tindakan positif boleh diambil bagi menurunkan harga barang dengan menggunakan cara lambakan.

Diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk boikot peniaga bagi menurunkan harga barang, beliau berkata apa yang dimaksudkan menteri berkenaan adalah menyeluruh dan tidak hanya ditujukan kepada peniaga Cina semata-mata.

Beliau juga manyarankan agar kerajaan mengkaji semula dasar monopoli barangan import dan eksport bagi mengatasi kenaikan harga barang yang tinggi.

“Saya berharap kerajaan kaji semula dasar sekarang. Jika ada monopoli, akan ada masalah, ada orang kawal harga, kita (pengguna) dapat harga yang mahal.

“Semasa saya ke Bangkok baru-baru ini, harga beras lima peratus hancur bagi harga borong di sana ialah RM1.40 sekilo, tetapi di Malaysia sekilo harganya RM2.40 hingga RM2.60, banyak bezanya.

“Jika tiada monopoli, maka lebih ramai peniaga akan meletakkan atau menjual barang dengan lebih murah,” kata Dr Hilmi.

Mengenai perkembangan kes denggi, beliau berkata sebanyak 14,180 kes dicatatkan bagi tempoh awal Januari hingga Jumaat lalu (6 Feb) berbanding 9,008 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata dalam minggu ini sahaja, sebanyak tujuh kematian dilaporkan dengan Selangor kekal sebagai negeri paling tinggi mencatat kes iaitu 1,286. — Bernama

 

Advertisement