Anda di sini

PBKKA perlu RM500,000 setahun untuk Sekolah Kanak-Kanak Istimewa

Advertisement

JOHOR BAHARU: Persatuan bagi Kanak-Kanak Kerencatan Akal (PBKKA) Johor memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 setahun untuk operasi Sekolah Kanak-Kanak Istimewa yang dikendalikannya di Jalan Gertak Merah, disini.

Yang Dipertuanya Datin Zahariah Abdul Hamid berkata dana itu turut termasuk pembayaran gaji 20 guru di sekolah itu serta membaiki kerosakan di bangunan sekolah.

“Kadang-kadang keadaan kewangan yang dialami persatuan terhad dan tidak mampu untuk membuat pelbagai penambahbaikan kepada sekolah.

“Jadi, untuk kelangsungan sekolah itu sendiri, kami memohon kepada masyarakat terutama syarikat-syarikat korporat di Johor agar bermurah hati menderma sejumlah wang,” katanya selepas melepaskan peserta mencari harta karun persatuan itu di sini semalam.

Zahariah berkata pada masa depan pihaknya turut merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti sampingan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumbangan masyarakat.

“Sayang kalau sekolah ini yang diusahakan lebih 10 tahun tiba-tiba menjadi ‘gajah putih’ gara-gara tiada dana. Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kami ingin berusaha sendiri untuk mencapai cita-cita kami, mendidik anak-anak kurang upaya dan mengekalkan sekolah ini,” katanya.

Sekolah itu yang mempunyai 18 buah bilik darjah yang dilengkapi perabot dan kemudahan yang direka khas, ketika ini mempunyai seramai 60 pelajar termasuk 10 orang dalam kelas tadika. — Bernama

Advertisement