Anda di sini

Sarawak setuju wujud sekolah Indonesia: Najib

Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan negeri Sarawak bersetuju untuk mewujudkan sekolah Indonesia bagi memberi pendidikan kepada anak-anak pekerja Indonesia di negeri itu.

Beliau berkata inisiatif yang sama telah diwujudkan di Sabah dan kini terdapat 50 buah sekolah Indonesia di negeri itu.

“Kami setuju bahawa sekolah-sekolah diwujudkan bagi anak-anak pekerja dari Indonesia. Kerajaan negeri Sarawak telah memberi persetujuan supaya mewujudkan sekolah yang sama di Sarawak.

“Dengan ini, seperti ditetapkan UNESCO, hak pendidikan adalah hak universal yang tidak boleh nafikan,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo sempena lawatan negara tiga hari pemimpin Indonesia itu di Malaysia di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Sebelum itu, Najib dan Presiden Indonesia itu yang lebih dikenali sebagai Jokowi mengadakan pertemuan empat mata dan menghadiri mesyuarat dua hala bersama delegasi masing-masing di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Dalam sidang media yang sama, Jokowi menyambut baik usaha Malaysia untuk mewujudkan Sekolah Indonesia di Sarawak.

“Perkara ini akan dilanjutkan segera bagi membolehkan anak-anak melanjutkan pendidikan,” katanya.

Sekolah Indonesia diwujudkan bagi memberi pendidikan kepada anak-anak Indonesia di luar negara dalam melahirkan modal insan berkualiti dari segi akhlak dan akademik.

Ia merupakan hasil pertemuan dua hala antara bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 11 Jan 2008.

Sekolah Indonesia Kota Kinabalu merupakan yang pertama beroperasi di negara ini iaitu pada 1 Dis 2008 yang memberikan pendidikan akses formal dan tidak formal kepada anak-anak Indonesia yang tinggal di Sabah. — Bernama

 

Advertisement