Anda di sini

PUSPAKOM lanjut operasi, tambah kakitangan sempena Tahun Baharu Cina

Advertisement

SHAH ALAM: Puspakom Sdn Bhd (PUSPAKOM) akan melanjutkan hari dan waktu operasi di beberapa cawangannya selain menambah kakitangan pemeriksa kenderaan bagi memenuhi permintaan yang dijangka tinggi bersempena perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata keputusan ini diambil pihak pengurusan PUSPAKOM bagi memastikan kenderaan dapat diperiksa sebelum bermulanya cuti perayaan yang panjang.

“Lanjutan hari dan waktu operasi ini adalah usaha berterusan PUSPAKOM untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan dan persediaan awal untuk menghadapi peningkatan jumlah kenderaan yang datang untuk pemeriksaan menjelang musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohammed Shukor, waktu operasi akan dilanjutkan dari jam 8 pagi sehingga 5 petang pada Sabtu, 7 Feb dan 14 Feb ini di cawangan Wangsa Maju, Cheras, Pandan Mewah dan Taman Bukit Maluri kesemuanya di Kuala Lumpur serta Shah Alam, Bangi, Batu Caves, Sungai Besar, Padang Jawa, Banting, Glenmarie dan Jalan Tandang di Selangor; Seremban, Negeri Sembilan; Mak Mandin dan Teluk Kumbar di Pulau Pinang; Gopeng dan Ipoh di Perak, Alor Gajah, Melaka, Johor Baharu, Pasir Gudang, Skudai, Taman Daya dan Muar di Johor; Kuantan di Pahang; Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah, Kuching di Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu cawangan PUSPAKOM di Pandan Mewah; Glenmarie, Jalan Tandang dan Bangi, Batu Maung di Pulau Pinang; Ipoh dan Pekan, Pahang akan beroperasipada hari Ahad, 8 Feb dan 15 Feb ini bermula dari 8 pagi sehingga 5 petang bagi pemeriksaan khas, pemeriksaan tukar milik, pemeriksaan sewa beli dan pemeriksaan kenderaan secara sukarela sahaja.

Sehubungan itu, Mohammed Shukor meminta pelanggan PUSPAKOM membuat perancangan awal untuk pemeriksaan kenderaan mereka dengan membuat temu janji melalui panggilan telefon ke cawangan PUSPAKOM pilihan yang berdekatan.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya masih akan menerima pelanggan yang ‘walk-in’ tetapi keutamaan akan diberi kepada mereka yang mempunyai temu janji.

Sila hubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 untuk maklumat lanjut. — Bernama

 

 

Advertisement