Anda di sini

MCA sedia beri kerjasama kawal kenaikan harga barang

Advertisement

KUALA LUMPUR: MCA sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerjasama dengan peniaga juga akan diutamakan supaya kerja pemantauan harga dapat dilakukan dengan lancar bagi melindungi kepentingan pengguna.

“KPDNKK mempunyai satu jawatankuasa pemantau… mana-mana pengguna yang mendapati peniaga menaikkan harga secara mendadak boleh mengadu kepada jawatankuasa itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Pasarnita@Pasar Seni sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Jabatan Perdana Menteri di Pasar Seni, di sini semalam.

Liow, yang juga Menteri Pengangkutan berkata MCA akan memberikan kerjasama membantu jawatankuasa itu dalam tindakannya

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas tindakan kebiasaan menaikkan harga barang oleh peniaga menjelang musim perayaan dan keengganan mereka menurunkan harga barang walaupun minyak mengalami penurunan harga kini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Wanita Barisan Nasional Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.

Katanya isu perkauman tidak seharusnya dibangkitkan sekiranya mahu menyelesaikan masalah kenaikan harga barang secara mendadak.

“Kami menghormati keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya berhenti mengaitkan isu perkauman dengan isu kenaikan harga barangdan sekiranya ada lagi masyarakat mahu suarakan pandangan mereka, maka kami perlu menanganinya dengan cara terbaik,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat dalam ucapannya memohon agar kerajaan menyediakan tapak tetap untuk peniaga wanita di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri seluruh Malaysia.

Perkara ini, katanya, merupakan sasaran utama pihaknya dan berharap akan mendapat kerjasama pihak berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan negeri.

“Kita percaya, usahawan wanita bukan hanya menjana ekonomi dalam keluarga, malah mampu untuk menyumbang kepada ekonomi negara melalui perniagaan.

“Selain daripada mempunyai kuasa sebagai pengguna, wanita juga berpotensi sebagai peniaga berjaya jika diberi pelbagai kemudahan dan peluang,” katanya.

Pasarnita@Pasar Seni kali ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan akan berakhir pada 8 Feb.

Ia disertai lebih 100 peniaga terdiri daripad usahawan wanita yang menjual pelbagai barang termasuk barang persiapan perayaan Tahun Baharu Cina. — Bernama

 

Advertisement