Anda di sini

Tindakan tegas jika tidak turunkan tambang bot ekspres

Advertisement

TAMBANG TURUN?: LSS akan mengadakan mesyuarat dengan pengusaha bot ekspres pada minggu depan bagi membincangkan isu menurunkan harga tambang.

SIBU: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan mengambil tindakan terhadap pengusaha bot ekspres jika mereka masih berkeras tidak menurunkan harga tambang ekoran penurunan harga petrol dan diesel, baru-baru ini.

Pengerusi LSS Murni Suhaili berkata, LSS akan mengadakan mesyuarat dengan pengusaha bot ekspres pada minggu depan bagi membincangkan isu tersebut.

Menurutnya, tujuan mesyuarat itu ialah untuk membincangkan penurunan harga tambang memandangkan harga bahan api sudah turun.

“Malah, kami telah bertemu dengan mereka (pengusaha) beberapa kali dan mengambil tindakan kompaun terhadap mereka.

“Diharapkan mesyuarat minggu depan akan memperoleh hasil yang dapat dimuktamadkan dan ada penyelesaian terbaik mengatasinya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing yang mahu LSS menyelesaikan isu kenaikan tambang bot ekspres memandangkan harga bahan api sudah turun.

Masing mendakwa, beliau menerima banyak aduan tentang kenaikan tambang bot ekspres dan menggesa LSS mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu tersebut untuk keselesaan rakyat.

Seorang pengendali bot ekspres yang dikenali sebagai Ting Chuo Meng mendakwa, penurunan kadar tambang akan memberi impak terhadap perniagaannya kerana menanggung banyak kerugian.

Beliau berkata pengusaha bot ekspres bukan sahaja berhadapan dengan isu minyak kerana bot juga perlu diselenggara dan sebagainya.

Menurut Ting, tambang bot ekspres dari Sibu ke Kapit adalah RM25 bagi kelas ekonomi, RM30 (kelas kedua) dan RM35 (kelas pertama).

Masing-masing kadar tambang tersebut meningkat sebanyak RM5 semasa kenaikan harga minyak sebelum ini.

 

 

Advertisement