Anda di sini

Tindakan drastik perlu selesai krisis bekalan air di Betong

Advertisement

BETONG: Tindakan drastik perlu dilaksana segera bagi menangani krisis bekalan air yang berada pada tahap kritikal di kawasan Betong dan sekitarnya, kata Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Jelasnya, masalah ini perlu penyelesaian segera berikutan rungutan rakyat di kawasan Betong, Spaoh dan sebahagian Debak selepas terputusnya bekalan air akibat kerosakan pam dan kabel Loji Rawatan Air Lubau akibat banjir baru-baru ini.

“Kita dimaklumkan dua daripada pam sedia ada telah dibawa ke Kuching untuk dibaik pulih termasuk kabel yang perlu dikeringkan sebelum disambung semula.

“Manakala dua unit lagi pam masih elok tetapi perlu dibaik pulih dan dibersih termasuk kabel lain yang perlukan proses pengeringan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatannya bersama Menteri Muda Kemudahan Awam(Bekalan Air) Datuk Sylvister Entri Muran ke Loji Rawatan Air Lubau dekat sini semalam.

Tengah berkata pam dan kabel yang sudah dibaik pulih secara berperingkat dibawa segera semalam dan seunit lagi akan tiba pada keesokan harinya.

“Kita juga akan mengarahkan kerja pemasangan terus dilakukan apabila pam itu tiba di sini bagi memastikan ia berfungsi dan segera membekalkan air bersih kepada penduduk terjejas,” katanya.

Katanya bagi penyelesaian sementara beberapa pam akan dipinjam dari bahagian lain namun kerana kapasiti kecil ia hanya mampu menampung suku daripada kawasan terjejas.

“Pam tersebut yang dipinjam dari Sarikei dan seunit lagi dari Kuching mempunyai kapisiti kecil (22kW). Apapun yang dibawa dari Bintulu dan Mukah tidak dapat diguna kerana teknologi buatan berbeza.

“Kita mengharapkan dengan pemasangan pam sementara petang ini, ia akan dapat mengatasi masalah dan air dapat dibekal secara normal,” katanya.

Awang Tengah berkata masalah itu tidak diduga kerana buat pertama kalinya air naik sehingga 11.9 meter menyebabkan papan litar utama tenggelam serta merosakkan fungsi loji berkenaan.

“Apapun kita mahu pemasangan segera dilakukan selewat-lewatnya esok supaya dapat menyalurkan air kepada semua penduduk Betong dan sekitarnya yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong Meehan Jorai berkata pihaknya menerima maklumat tentang graf peningkatan air secara mendadak daripada Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Peningkatan mendadak ini akan menjadi garis panduan dan petunjuk ketinggian untuk kami menaikkan papan litar utama sehingga kepada sekurang-kurangnya 12 meter pada masa akan datang agar masalah ini tidak berulang.

“Ketinggian kedudukan panel itu merujuk kepada sukatan lama yang pernah berlaku adalah jauh lebih tinggi semasa pembinaan loji tersebut,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Bekalan Air Operasi dan Penyelenggaraan JKR Negeri Sarawak Chong Chi Fam.

 

Advertisement