Anda di sini

Timbul rungutan, padang becak jejas kerancakan Liga Limbang

Advertisement

LIMBANG: Keadaan padang becak dan ditakungi air menyebabkan satu-satunya kemudahan itu tidak dapat digunakan sehingga mengakibatkan beberapa siri perlawanan Liga Limbang 2014 terpaksa ditangguhkan sehingga kini.

Masalah bertambah teruk dengan musim hujan lebat yang melanda sekarang, sehingga timbul rungutan dalam kalangan pemain dan pasukan yang bertanding.

Difahamkan akibat keadaan itu, sebanyak sembilan perlawanan Liga Super 2014 masih ditangguhkan dan tidak dapat diteruskan sehingga ke suatu masa yang akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu tinjauan Utusan Borneo di padang Kompleks Sukan Limbang mendapati keadaan padang amat menyedihkan dan seakan ‘kolam’ takungan air sekali gus memaksa ia ditutup untuk sebarang kejohanan bola sepak, khususnya Liga Limbang.

Presiden Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) Dr Abdul Rahman Ismail ketika dihubungi semalam mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan siasatan terhadap saliran air di padang berkenaan.

Menurutnya projek memperbaiki saliran air di padang tersebut sudah dilaksanakan dua tahun lalu membabitkan sejumlah peruntukan yang agak besar.

“Kita bimbang padang Kompleks Sukan Limbang berdepan masalah saliran air.

“Oleh itu JKR perlu menyiasat bagi memastikan sama ada saliran air di padang berkenaan tersumbat atau disebabkan keadaan hujan yang berlebihan,”ujarnya.

Dr Rahman yang juga ADUN Bukit Kota menambah, keadaan padang becak adalah di luar kawalan dan diburukkan lagi dengan hujan yang berpanjangan menyebabkan padang tidak dapat digunakan.

“Kesannya beberapa siri perlawanan Liga Super turut terjejas dan ditangguhkan,”katanya sambil menambah, perlawanan mungkin akan diteruskan sekitar Mac depan.

Ditanya mengenai alternatif lain termasuk penggunaan padang Kampung Penapak atau padang lain, beliau berkata keadaan padang lain juga tidak sesuai.

“Masalah sama masih dihadapi padang-padang lain yang juga berdepan dengan keadaan becak, bertakung air akibat hujan yang berlaku sekarang.

“Kita tidak mempunyai pilihan dan dijangka perlawanan akan diteruskan pada Mac depan sekiranya cuaca mengizinkan,”tambahnya.

Dr Rahman juga mahu peminat dan pasukan Liga Limbang 2014 dapat bersabar sehingga masalah dapat diatasi.

Katanya lagi Liga Limbang 2015 dijangka akan bermula pertengahan tahun ini selepas tamatnya Liga Limbang 2014.

 

Advertisement