Anda di sini

Sarawak B mulakan langkah kiri

Advertisement

Johnny

Tewas 1-3 kepada T-Team pada aksi pertama Kumpulan A Piala Presiden 2015 di Terengganu

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Sarawak memulakan kempen Piala Presiden 2015 dengan langkah kiri apabila tewas 1-3 di tangan T-Team dalam perlawanan pertama Kumpulan A yang berlangsung di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak petang kelmarin.

Anak-anak buah Johnny Dominicus jelas tidak fokus dalam separuh masa pertama menyaksikan mereka mudah dibolosi dengan tiga gol pada minit ke-2, 23 dan 39.

Hanya pada babak kedua, rentak permainan skuad B itu mula meningkat dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan pemain Harimau Muda C, Mohammad Hafis Saperi pada minit ke-80.

Kedudukan itu tidak berubah hingga tamat masa permainan sekalipun Sarawak terus menggandakan asakan untuk menambah jaringan.

“Corak permainan kita agak perlahan pada separuh masa pertama dan pemain juga banyak melakukan kesilapan mudah.

“Ini memberi peluang kepada pasukan lawan mengambil kesempatan dengan menjaringkan tiga gol.

“Hanya pada separuh masa kedua pemain mula menunjukkan corak permainan sebenar dan kita berjaya memperolehi satu jaringan,” katanya mengulas perlawanan itu semalam.

Johnny berharap pemain menyedari kesilapan masing-masing dan menggesa mereka meningkatkan corak permainan pada perlawanan kedua nanti.

Sarawak akan melayan kunjungan Pahang di Stadium Negeri pada Rabu depan.

 

Advertisement