Anda di sini

Penyelidik USM cipta gajet jimat minyak

Advertisement

GEORGE TOWN: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan gajet jimat petrol dan diesel yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api itu sehingga 50 peratus.

Ketua Penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM Prof Madya Dr Soib Taib berkata gajet itu disambung ke bahagian enjin dan menghasilkan pembakaran bahan api yang lengkap serta memberi manfaat kepada pemilik kenderaan terutamanya dalam perjalanan jauh.

Prototaip gajet berasas fuelisis atau air itu boleh diubah suai mengikut kapasiti enjin dan sesuai digunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori, bas sekolah dan bot nelayan, katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam.

Berbanding enjin biasa, jumlah pembebasan gas yang mencemarkan udara turut dapat dikurangkan iaitu karbon monoksida sebanyak 25.6 peratus dan karbon dioksida sehingga 9.1 peratus, katanya.

Beliau berkata:”Penggunaan gajet ini juga dapat membantu mencapai hasrat kerajaan untuk mengurangkan 40 peratus pembebasan gas karbon ke udara menjelang 2020.

“Pengguna hanya perlu menukar air selepas perjalanan 1,800 kilometer hingga 2,000 kilometer dan jangka hayat produk ini ialah selama lima tahun dengan kos pemasangan RM1,200,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata pihaknya bercadang mengaplikasikan penggunaan gajet itu pada semua kenderaan dalam kampus dengan tempoh percubaan antara enam dan sembilan bulan.

Beliau berkata prototaip alat itu kini dalam proses penjenamaan dan pihaknya bersedia bekerjasama dengan industri yang berminat untuk mengkomersialkan produkitu dengan harga kompetitif. — Bernama

 

Advertisement