Anda di sini

Penduduk 12 kampung di Lundu dipindah sekiranya hujan lebat berterusan: Tiong

Advertisement

LUNDU: Penduduk di 12 kampung yang terjejas akibat banjir di sekitar daerah ini akan dipindahkan ke pusat permindahan sekiranya hujan lebat berterusan sekali gus menyebabkan keadaan banjir semakin teruk.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata 12 kampung tersebut ialah Kampung Sebat Melayu, Kampung Sebat Baru, Kampung Sebat Dayak, Kampung Siru Melayu, Kampung Tamaga Melayu, Kampung Temaga Cina, Kampung Temaga Dayak, Kampung Sebako, Kampung Semapu, Kampung Judin, Kampung Paon dan Kampung Belungei di Sematan.

Menurutnya, sebanyak 13 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Paun, Sematan sehingga jam 1 petang semalam.

“Sehingga jam 1 petang hari ini (semalam), sebanyak 13 keluarga iaitu seramai 55 orang telah dipindahkan ke Pusat Permindahan Banjir Kampung Paon, Sematan.

“Keadaan masih selamat dan semua bilik operasi serta pusat permindahan di daerah ini yang terletak di kawasan bencana telah diarahkan dibuka serta merta,” kata Tiong.

Difahamkan juga, setakat jam 3 petang semalam, hanya kawasan berdekatan Kampung Sebako terputus hubungan jalan raya akibat paras air semakin tinggi dan pihak bomba telah meletakkan dua bot di situ.

Bomba selain itu turut menghantar dua lori lima tan dengan meredah kawasan banjir tersebut untuk memudahkan proses pemindahan.

“Buat masa ini, hanya kawasan berdekatan Kampung Sebako masih terjejas teruk manakala kawasan-kawasan lain sudah berasur surut,” katanya.

 

Advertisement