Anda di sini

Masalah ketiadaan air di Betong kritikal

Advertisement

Penduduk terjejas akibat masalah ketiadaan bekalan air bersih sejak empat hari lalu

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Ribuan penduduk di Betong kini terjejas akibat masalah ketiadaan bekalan air bersih, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Vernon Aji Kedit.

Keadaan itu, katanya berpunca daripada kerosakan pada Loji Rawatan Air Mentah di Lubau akibat banjir baru-baru ini.

“Akibat banjir, pam Loji Rawatan Air Mentah di Lubau telah rosak dan kini sedang dibaiki.

“Disebabkan itu, sudah empat hari penduduk di Betong tidak mempunyai bekalan air paip,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini, semalam.

Justeru, Vernon menggesa Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu supaya segera mengatasi masalah tersebut.

Katanya, Jabu yang juga wakil rakyat di situ perlu prihatin dengan kesukaran yang dihadapi rakyatnya.

“Ini adalah kawasan Jabu sendiri tetapi beliau tidak melakukan apa-apa tindakan yang kukuh untuk membantu rakyatnya,” katanya.

Namun demikian, Vernon memuji usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang telah membantu membekalkan air kepada penduduk terjejas.

Terdahulu, Vernon memberitahu bahawa mangsa-mangsa tanah runtuh dari Rumah Mupoh Baruh di Layar amat kecewa atas sikap Jabu ketika melawat mereka di pusat pemindahan baru-baru ini di mana beliau tidak menjanjikan apa-apa bantuan.

“Dalam kejadian tanah runtuh pada 1 Februari lalu yang berlaku terhadap Rumah Mupoh Baruh dalam kawasan DUN Layar di Betong, seramai 97 mangsa daripada 23 keluarga telah kehilangan tempat tinggal dan dipindahkan ke pusat pemindahan kerana rumah panjang mereka sudah tidak selamat untuk didiami.

“Tetapi pada Selasa lepas, wakil rakyat mereka (Jabu) hanya melawat ke pusat pemindahan selama 30 minit dan kemudian pergi.

“Penduduk memberitahu bahawa beliau tidak membuat apa-apa ucapan atau kata-kata yang melegakan mereka seperti menjanjikan bentuk bantuan serta sokongan daripada kerajaan atau dirinya sendiri atas kapasitinya sebagai pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri dan Timbalan Ketua Menteri.

“Sebaliknya, beliau mengalihkan tanggungjawab ini kepada agensi-agensi kerajaan dan individu yang prihatin,” katanya.

 

Advertisement