Anda di sini

KM digesa buat pendirian terhadap kenyataan rasis Ismail Sabri

Advertisement

KUCHING: Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How menggesa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem membuat pendirian terhadap kenyataan rasis yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyeru orang Melayu memboikot perniagaan kaum Cina.

“Adenan yang juga pengerusi BN Negeri perlu menjelaskan pendirian kerajaan negeri berhubung perkara itu kerana Pilihan Raya Negeri semakin hampir.

“Bukan sahaja pengundi Cina akan melihat reaksi daripada kerajaan negeri tetapi juga masyarakat daripada kaum Melayu, Iban dan semua kaum lain di Sarawak.

“Saya percaya semua rakyat Sarawak tidak suka perkara ini dan semua orang tahu ia adalah salah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut See, jika kerajaan negeri hanya menutup mulut ke atas perkara tersebut dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan Ismail, ia bermakna kerajaan BN bertoleransi terhadap perkara rasis seperti itu.

“Saya berpendapat Ketua Menteri kita harus memberitahu Ismail bahawa beliau tidak dialu-alukan di Sarawak tetapi masalahnya sehingga hari ini, semua pemimpin BN Negeri hanya senyap.

“Ini bermakna mereka bertoleransi dengan orang seperti ini dan saya rasa ini adalah teruk… mereka harus membuat pendirian,” katanya.

Selain itu, See berkata Najib juga harus memecat Ismail.

“Adalah tidak waras untuk Perdana Menteri mengekal dan mempertahankan seorang menteri yang telah mengeluarkan kenyataan rasis.

“Ia adalah mengarut untuk menteri seperti ini duduk dalam kabinetnya,” katanya.

 

Advertisement