Anda di sini

Keadaan tidak mengizinkan, Liga Samarahan 2015 ditunda

Advertisement

KUCHING: Kempen Liga Samarahan 2015 yang dijadual bermula pada awal bulan ini ditunda ke satu tarikh baharu yang masih belum ditetapkan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) Haidel Heli berkata penundaan itu terpaksa dilakukan berikutan kualiti beberapa padang yang akan digunakan terjejas akibat musim hujan.

“Musim tengkujuh yang sedang melanda sedikit sebanyak menjejaskan permukaan padang yang bakal digunakan sepanjang liga.

“Sehubungan itu, PBBS terpaksa menangguhkan dulu sepak mula saingan liga hingga keadaan padang kembali elok.

“Ini kerana persatuan mahu memastikan penganjuran Liga Samarahan 2015 antara yang terbaik,” jelas Haidel ketika mengulas perkara itu semalam.

Beliau menambah, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat bagi mencari satu tarikh baharu bagi memulakan liga musim ini.

Seperti biasa kalendar PBBS musim 2015 dipenuhi dengan lima piala, bermula dengan Piala Sumbangsih, Liga Samarahan, Piala FA, Piala Residen Samarahan dan Piala Presiden PBBS.

Dalam perkembangan sama, Haidel turut mengumumkan dua pasukan teratas Liga Samarahan 2015 akan terpilih secara automatik bagi mewakili Samarahan dalam saingan Piala Juara-Juara Sarawak 2015 yang masih belum diputuskan tarikhnya.

 

Advertisement