Anda di sini

Bantu kerajaan bangunkan bandar raya, bandar dan kampung: Wong

Advertisement

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh menyeru kerjasama daripada masyarakat umum dengan kerajaan untuk bersama-sama menyokong pembangunan bandar raya, bandar dan kampung di negeri ini.

“Kerajaan sedar akan keperluan untuk kekal relevan dengan perubahan persekitaran serta sentiasa mengamalkan pendekatan baharu.

“Bagaimanapun, kerajaan sahaja tidak dapat melakukannya kerana kami juga memerlukan sokongan daripada sektor swasta dan orang awam.

“Satu projek pembangunan hanya boleh dibuat mampan jika kita merancang dengan betul,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena penyampaian sijil United Nations Center for Regional Development (UNCRD) di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, Wong menegaskan bahawa kursus Endogenous Regional Development (EnRD) iaitu pendekatan pembangunan wilayah pelbagai sektor oleh UNCRD yang disertai 22 peserta tempatan dari pelbagai latar belakang di Jepun baru-baru ini akan memberi sumbangan yang positif ke arah pembangunan mampan di Kuching.

“UNCRD berusaha menggalakkan pembangunan wilayah yang mampan di negara-negara membangun melalui perancangan dan pengurusan dan para peserta yang menghadiri kursus ini kini telah dilengkapi dengan pengetahuan mengenai pembangunan mampan.

“Saya harap apa yang anda pelajari dari Jepun dapat dilaksanakan di sini terutama dengan anda memberitahu masyarakat bahawa kita memerlukan bantuan mereka.

“Kita memerlukan sumbangan setiap individu untuk melakukan perkara yang lebih mapan dan berjaya,” katanya.

Sementara, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan yang mengetuai delegasi semasa kursus EnRD di Jepun itu berkata, para peserta telah diberi peluang untuk melihat jenis-jenis pendekatan pembangunan di Jepun.

“Terdapat segenggam pengalaman semasa kursus ini di mana kami memahami bagaimana Jepun memanfaatkan sumber kota mereka,” katanya.

Justeru, Chan berkata Kuching mempunyai banyak sumber yang belum diterokai dan boleh digunakan untuk mengenali potensi pembangunan di bandar raya ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan Temenggung Lu Kim Yong.

 

Advertisement