Anda di sini

ZHA telah dilantik kitar semula tayar terpakai

Advertisement

MIRI: ZHA Environmental Sdn Bhd (ZHA) dilantik kerajaan negeri bagi membantu memungut dan mengitar semula pembuangan tayar terpakai bukan sahaja di bandar raya ini bahkan di seluruh Sarawak.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata, tayar terpakai antara masalah pencemaran alam sekitar walaupun pelupusan secara menanamnya tidak memberi kesan disebabkan tayar berkenaan tidak dapat dilupus secara terus.

“Justeru, masalah itu membelenggu MBM kerana tidak mempunyai kemudahan sepatutnya untuk melupuskannya. Semua tayar terpakai di sini ditanam di tapak pelupusan terletak di Kuala Baram kerana MBM tidak mempunyai kemudahan melupuskan tayar tersebut,” jelasnya.

Lai berkata demikian kepada media selepas sesi dialog bersama ZHA Environmental Sdn Bhd, pengedar dan peniaga tayar serta Persatuan Tayar Miri bertempat di bilik mesyuarat MBM di sini semalam.

Menurut Lai, lantikan syarikat ZHA itu diharap dapat membantu sekali gus menyelesai masalah yang turut membelenggu pengusaha atau pemilik tayar yang tidak mempunyai cara melupuskannya.

“Disebabkan ketiadaan kemudahan betul sebelum ini, terdapat tayar terpakai dibuang secara haram di kawasan tertentu atau di tong sampah besar yang dikhas untuk membuang sampah secara pukal,” ujarnya.

Bahkan katanya, kebanyakan peniaga atau pemilik bengkel akan meletak tayar di kawasan lapang dan membiar begitu sahaja sehingga menjadi lokasi pembiakan nyamuk, tikus dan juga ular.

Jelas Lai, ZHA merupakan satu-satunya syarikat berlesen bagi memungut dan mengitar semula sekali gus membantu menjaga alam sekitar di sini.

Hadir sama ialah Pengurus Besar ZHA Environmental Sdn Bhd Bernard Yong, Presiden Persekutuan Lori Sarawak merangkap Pengerusi Persatuan Lori Miri Kaunselor Bruce Chai dan Pengerusi Tayar Miri Ong Kim Chui.

Katanya, syarikat terbabit meluaskan sayapnya ke Miri dengan pembukaan kemudahan mengumpul dan menyimpan tayar di kawasan industri di Senadin.

Advertisement