Anda di sini

Syafiqah idam lebih banyak kejuaraan

Advertisement

KUCHING: Pemain boling Sarawak, Nur Syafiqah Datu Sajeli menyasarkan lebih banyak kejuaraan pada Kejohanan Boling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSSS) yang akan diadakan di Miri dari 10 hingga 13 Februari ini.

Pelajar SMK Batu Lintang yang menjuarai kategori perempuan bawah 18 tahun pada Kejohanan Boling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuching di Megalanes Adventure World, Selasa lalu menempah tiket dalam skuad Kuching untuk menghadapi temasya tersebut.

Syafiqah juga merupakan sebahagian daripada pasukan negeri yang memenangi perak pada SUKMA XVII Perlis pada tahun lepas.

Beliau dinobat selaku johan selepas menjatuhkan 1,417 pin dalam lapan perlawanan manakala rakan sepasukan Raylin Ang meraih jatuhan sebanyak 1,346 untuk menduduki tempat kedua.

Tempat ketiga dimenangi Nur Anina Othman dari SMK Sungai Maong (1,295) dan Nur Sharmini Sazali dari SMK Agama Tun Ahmad Zaidi (1,282).

Kategori lelaki bawah 18 tahun menyaksikan atlet pusat kecemerlangan, Abang Afiq Yazid Abang Azman dari SMK St Joseph muncul juara selepas merekod jatuhan pin sebanyak 1,601 selepas bersaing dalam lapan perlawanan.

Allexiss O’Neil dari SMK Batu Lintang di tempat kedua dengan 1,557 pin manakala Mohamad Ariff Nashrudin Ariffin dari SMK St Thomas dan Donovan Rhomesh dari SMK Batu Lintang di tempat ketiga dan keempat dengan 1,462 dan 1,366 jatuhan pin.

Sementara itu, SMK DPHA Gapor, Stampin menyapu bersih tempat pertama hingga ketiga dalam kategori lelaki bawah 15 tahun menerusi Melvin Filbert Gimang (1,634), Marlon Umak Freddy (1,622) dan Muhd Zuhayr Redza (1,524).

Bagi kategori perempuan bawah 15 tahun, Nur Aina Kamalia dari SMK DPHA Gapor, Stampin muncul juara dengan jatuhan 1,417 pin.

Di tempat kedua Nur Shasya Nazira Sazali dari SMK Agama Tunaz (1,314), Eleeza Ezzette dari SMK DPHA Gapor, Stampin (1,268) dan Nur Haziqah Ramli dari SMK Green Road (1,161).

Kejohanan yang berlangsung selama sehari itu dianjurkan oleh Sekolah Menengah Lodge dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuching.

Ia berjaya menarik penyertaan seramai 95 pelajar dan murid dari 13 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah.

Ketua Unit Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Yazit Belon menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir Pengerusi Teknikal MSS Sarawak, Bong Hon Fah, Pengarah Kumpulan Sekolah Lodge, Thomas Huo dan Penolong Kanan (Kokurikulum) Sekolah Menengah Lodge, Willie Liew.

Advertisement