Anda di sini

Skuad Belia pamer keyakinan

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Anak didik Fuad membelasah ATM pada aksi pra-musim persiapan hadapi Liga Piala Belia

KUCHING: Skuad Piala Belia Sarawak mendapat tonik apabila membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 8-0 dalam aksi pemanas badan yang berlangsung di Stadium Sarawak kelmarin.

Ia aksi pra-musim terakhir Sarawak sebelum mereka akan memulakan kempen Liga Piala Belia 2015 pada 8 Februari ini dengan menentang Terengganu di Stadium Negeri.

Sarawak yang menurunkan lima pemain dari Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2014 merobek kubu ATM 3-0 pada separuh masa pertama.

Pesta gol Sarawak diteruskan dengan lima lagi jaringan berjaya dihasilkan pada separuh masa kedua.

Meskipun sekadar aksi pemanas badan, kemenangan besar itu memberi kelegaan kepada Ketua Jurulatih, Fuad Grbesic.

Menurut Fuad, perubahan jadual perlawanan menyebabkan persiapan mereka agak singkat dan pemain hanya mula menjalani latihan bersama sejak sebulan lalu.

“Kita baharu sebulan bersama dan banyak lagi perkara yang perlu saya lihat terhadap pemain-pemain ini.

“Namun, setelah melalui proses latihan serta beberapa perlawanan pendedahan, saya boleh katakan pemain kita mula menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

“Saya juga tertarik dengan potensi tiga atau empat pemain muda kita yang mempunyai kualiti seperti pemain di Eropah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Haidel Heli berkata, Sarawak menyasarkan lima kedudukan terbaik dalam kempen liga tersebut yang akan bermula Ahad ini.

Sarawak telah menyenaraikan 25 pemain berusia dalam lingkungan 17-19 tahun untuk membawa cabaran dalam saingan liga kali ini.

Kempen Piala Belia 2015 yang baharu diperkenalkan pada tahun ini bakal menyaksikan 15 pasukan mengambil bahagian.

Pasukan lain yang turut serta adalah Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, SSMP dan Terengganu.

Advertisement