Anda di sini

Sibu bersedia menjadi tuan rumah acara badminton SUKMA 2016

Advertisement

SIBU: Masyarakat Sibu, khususnya peminat sukan badminton menyambut baik sekiranya acara badminton diadakan di sini pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 nanti.

Bendahari Persatuan Badminton Sibu, Yong King Song menyifatkan berita itu sebagai satu penghormatan.

“Ia suatu mengejutkan, namun kita amat mengalu-alukan agar acara tersebut diadakan di sini.

“Kita bersedia membantu jawatankuasa penganjur sekiranya Sibu dipilih menjadi tuan rumah bagi acara badminton,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk laporan Setiausaha Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Abdul Hadi Abdul Kadir memberitahu bahawa kerajaan negeri memutuskan mengadakan pertandingan badminton di Sibu pada penganjuran SUKMA tahun hadapan.

Abdul Hadi berkata, Sibu mempunyai sebuah stadium baharu dengan kapasiti tempat duduk 7,000 orang berbanding 5,000 tempat duduk dimiliki Stadium Perpaduan Sarawak di Kuching.

Yong berkata, tidak pernah terlintas di fikiran mereka bahawa pertandingan badminton diadakan di Sibu.

Ini kerana Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Lucas Kallang Leang mengumumkan hanya bola tampar dan bola tampar pantai diadakan di Sibu.

“Selain itu, saya secara peribadi tidak percaya Sibu dipilih menjadi tuan rumah acara itu ekoran ketiadaan tempat sesuai untuk menganjurkannya,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Yong menghimpunkan semua ahli jawatankuasanya dan peminat sukan badminton tempatan bagi memberi sokongan penuh terhadap penganjuran acara itu di sini.

Sebelum ini, Sibu juga diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi acara badminton pada SUKMA 1990 di SM Katolik.

Yong memberitahu, beliau masih ragu-ragu mengenai stadium yang disebut oleh Hadi mempunyai kapasiti tempat duduk 7,000 orang.

“Semoga segala pembinaan stadium tertutup itu berjalan seperti dirancang dan kita benar- benar berharap menjadi tuan rumah bagi acara badminton,” katanya.

Sementara itu, peminat sukan tempatan Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata ahli perniagaan tempatan juga akan mendapat keuntungan apabila sukan badminton diadakan di sini.

“Penginapan dan makanan di sini sangat murah dan adalah satu idea yang baik menjadikan Sibu sebagai tuan rumah,” katanya.

Hii berkata, akan menjadi lebih baik jika kerajaan negeri melantik Persatuan Amatur Bahagian Sibu (SDAAA) mengendalikan acara SUKMA sukan itu.

“Kami boleh menyatakan mempunyai segala kemudahan dan logistik mengendalikan acara sukan dan jika diberi tugas kami akan cuba yang terbaik menjadi tuan rumah,” kata Hii yang juga Presiden SDAAA.

Namun, beliau tidak pasti sama ada stadium tertutup baharu di di Jalan Lapangan Terbang Lama Sibu siap dalam masa ditetapkan sekali gus menjadi lokasi utama penganjurannya.

Advertisement