Anda di sini

Peniaga perlu bertimbang rasa tentukan harga: Kabinet

Advertisement

Pengguna juga hendaklah bijak mengguna kuasa mereka

KUALA LUMPUR: Kabinet semalam menggesa para peniaga supaya bersikap bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam menentukan harga barang dan perkhidmatan sejajar dengan penurunan harga minyak agar pengguna dapat merasa kesan penurunan harga itu.

Pengguna juga hendaklah menjadi pengguna bijak dengan menggunakan kuasa mereka untuk mendorong para peniaga agar meletakkan harga yang berpatutan, katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Kabinet telah dimaklumkan mengenai kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam media sosial yang sebenarnya bertujuan menegur para peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak dan diesel telah turun.

Teguran yang dibuat oleh beliau ditujukan kepada semua peniaga dan bukan peniaga kaum tertentu sahaja, menurut Kabinet.

“Selain itu, beliau juga mencadangkan agar pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa peniaga menurunkan harga barang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Ismail Sabri yang mengajak pengguna memboikot peniaga yang enggan menurunkan harga barang menjadi viral di laman sosial sejak minggu lepas dan mendapat bantahan beberapa pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan yang sama menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum.

“Oleh itu, sebarang pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum di negara ini tidak sepatutnya dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada kita semua,” katanya. — Bernama

Advertisement