Anda di sini

Pejabat lesen Petronas buka banyak peluang, kata Lee

Advertisement

MIRI: Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin berharap dengan pembukaan Pejabat Pelesenan dan Pendaftaran Petronas di sini, lebih banyak peluang perniagaan atau projek diberi secara terus kepada subkontraktor negeri ini berbanding sebelumnya.

Beliau berkata sudah tiba masanya bagi subkontraktor di sini memperoleh projek atau tender daripada syarikat minyak negara ini secara terus tanpa perlu melalui syarikat besar lain dan yang berdaftar dengan Petronas.

“Jika anda lihat semua projek membabitkan sektor minyak dan gas di negeri ini, hampir semuanya dikendali syarikat kecil atau subkontraktor kita. Mereka ini lebih luas pengalaman dan wajar diberi peluang,” jelas Lee.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini, selepas menghadiri Seminar Peluang-Peluang Perniagaan Dalam Industri Minyak dan Gas Sarawak, semalam.

Katanya, sudah tiba waktunya kontrak dialih secara terus kepada syarikat negeri ini, berbanding sebelum ini.

“Selama ini, kebanyakan kita di Sarawak hanya bertindak sebagai subkontraktor sahaja,” tambah beliau lagi.

Dengan adanya Pejabat Pelesenan dan Pendaftaran Petronas yang terletak di Bangunan Petronas Carigali Sdn. Bhd di Lutong, dekat sini, syarikat tempatan boleh terus mendaftar dan bagi yang sudah berdaftar, ia memudahkan mereka memperbaharui lesen tanpa perlu berurusan ke Kuala Lumpur, seperti sebelumnya.

Katanya, sebaik berdaftar sebagai vendor Petronas, syarikat dari negeri terbabit berpeluang merebut projek atau tender secara terus dengan Petronas tanpa perlu melalui syarikat  besar yang majoritinya dimonopoli syarikat luar Sarawak.

Lee memberitahu peruntukan nilai asas RM2.1 bilion yang dipersetujui oleh Petronas, untuk diberi kepada syarikat dari negeri ini, merupakan permulaan baik dan harap dapat dimanfaat sebaiknya oleh pemilik syarikat dari negeri ini.

“Apatah lagi, Miri merupakan tempat lahirnya industri minyak dan gas, sekali gus melahirkan pekerja dan subkontraktor berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Hari ini mereka wajar untuk menikmati kemudahan dan komitmen diberikan oleh Petronas,” ujar Lee lagi.

Mengenai Taman Lembah Bio bernilai RM53 juta yang terletak di Universiti Teknologi Curtin, Kampus Sarawak di sini, Lee berkata ia sedang dalam proses pembinaan dan apabila siap kelak, pastinya akan membantu membangunkan Miri dalam bidang penyelidikan, jaminan kualiti dan sebagainya.

“Selain itu ia turut membantu merancak lagi pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini,” tambahnya.

Taman bio itu bertujuan untuk membangunkan produk baharu serta menyediakan ujian kualiti tinggi dan membangunkan kemudahan PKS dengan menyediakan analisis produk, peningkatan dan jaminan kualiti produk yang dihasil di samping menjalin kontrak penyelidikan dan sebagainya.

Advertisement