Anda di sini

Pegawai agensi Islam diperkasa dengan ilmu penyelidikan fatwa

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri sentiasa berusaha menyedia dan melengkapkan pegawai penyelidik di agensi-agensi Islam dengan input berguna dalam pelbagai bidang penyelidikan khususnya kefatwaan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pegawai yang berpengetahuan dan mahir dalam penyelidikan sudah pasti dapat mempergiatkan aktiviti penyelidikan hal ehwal Islam kerana banyak isu yang perlu dikaji dengan cara ilmiah dan sistematik di negeri ini.

“Tahniah dan syabas atas penganjuran Bengkel Metodologi Penyelidikan Fatwa dan Hukum 2015 yang sangat baik dan penting ini.

“Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang asas dan kaedah metodologi penyelidikan hukum dan fatwa serta kepentingan penyelidikan yang komprehensif dan berkualiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Putit Matzen pada majlis perasmian bengkel berkenaan di Hotel Grand Margherita di sini, semalam.

Selain bengkel, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Saya berasa sangat bersyukur kerana hari ini (semalam), kita menandatangani satu MoU antara kerajaan negeri yang diwakili Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) dan Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (C-FiRST), UTM.

“Ini merupakan langkah strategik dalam memperkasa penyelidikan kefatwaan di negeri ini,” jelasnya.

Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur menjelaskan, kerjasama tersebut membolehkan Sarawak menjalankan penyelidikan dengan lebih efisien melalui bantuan kepakaran daripada universiti termasuk dalam perundingan kepakaran, muzkarah (perbincangan) pakar, khidmat nasihat isu semasa, latihan atau kursus pendek.

“Diharap dengan adanya kerjasama dalam perjanjian persefahaman seumpama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan membawa impak besar dalam penyelidikan kefatwaan di negeri ini demi mencapai kesejahteraan ummah melalui pematuhan fatwa yang lebih berwibawa,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang pelantikan 15 sukarelawan ‘Ashabul Mufti’ oleh JMNS, Putit berkata, adalah menjadi harapan MIS agar mereka dapat memainkan peranan bersama pegawai-pegawai dalam kerajaan negeri untuk mempertahankan kesatuan akidah dan ibadah masyarakat Islam di Sarawak.

“Kebelakangan ini semakin banyak unsur yang ingin menyelewengkan kita daripada kesatuan akidah dan ibadah.

“Jadi, saya berharap lebih ramai pegawai kita dapat bersatu minda mempertahankan kesatuan kita dalam agama Islam,” kata Putit.

Hadir sama Mufti Negeri Datuk Kipli Yassin, Pengarah C-FiRST UTM Prof Madya Dr Arieff Salleh Rosman, Ketua Hakim Syarie Datuk Muhamed Ali Muhamed Sheriff dan Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.

Advertisement