Anda di sini

Loji Lubau rosak, penduduk diminta bersabar: JKR

Advertisement

SEDANG DIBAIKI: Usaha membaiki kerosakan pam Loji Lubau masih giat dilaksanakan.

BETONG: Penduduk Betong dan sekitarnya perlu bersabar dengan masalah bekalan air sehingga kerosakan pam Loji Lubau menemui jalan penyelesaian dan boleh digunakan, kata  Jurutera Bahagian (DE) Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong, Meehan Jorai.

Meehan berkata, usaha membaiki kerosakan loji itu masih giat dilaksanakan kerana proses pemasangan pam agak rumit dan teliti.

“Kerja pembaikan dan pemasangan pam agak sukar kerana kita perlu memastikan ia berfungsi dengan baik dan mampu menyambung bekalan air seperti sediakala,” katanya ketika diminta mengulas mengenai proses baik pulih bekalan air bersih kawasan Betong, Spaoh dan Debak akibat kerosakan pam Loji Lubau.

Meehan menjelaskan, pihaknya terpaksa membuka pam seberat dua tan itu untuk mengenal pasti kerosakan dan jika tidak dapat dibaiki, ia akan dibawa segera ke Kuching untuk tujuan baik pulih.

“Itu bergantung kepada keputusan pakar yang datang dari Kuching  dan kita akan menentukan kerosakannya kelak,” jelasnya.

Sementara itu, pekerja juga telah memasang pam yang dipinjam daripada JKR Bintulu dan dalam proses mencuba kekuatan pam tersebut.

“Usaha ini diharap dapat dilakukan secepat mungkin dan kita berusaha menjana pam  untuk memastikan masalah dapat diselesaikan dengan segera. Kita telah menguji keberkesanan pam, kadar kemampuan kapasiti dan tekanan air untuk pengoperasian loji seterusnya membekalkan semula air kepada pengguna,” ujarnya.

Katanya, pam yang berkapasiti kecil tidak akan cukup menampung keperluan pengguna di Betong dan kawasan sekitarnya.

“Sebaik sahaja berfungsi kelak, kita akan menyalurkan air ke kawasan yang kritikal yang bakal diberi keutamaan.

Sehingga itu, kita juga akan memaklumkan dari semasa ke semasa proses kerja pembaikan ini dan akan memaklumkan jika ada perkembangan terkini,” ujar Meehan.

Sementara itu, segala usaha menghantar lori tangki diteruskan bagi membantu penduduk terjejas  supaya penduduk di sini tidak terputus bekalan.

Advertisement