Anda di sini

Lelaki Bangladesh melecur dibakar

Advertisement

Polis menahan seorang wanita Indonesia untuk membantu siasatan

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki Bangladesh melecur di beberapa bahagian badan akibat dibakar oleh seorang wanita di tapak pembinaan berhampiran Pasar Awam Kampung Baru di sini, semalam.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang merupakan pekerja kontrak itu dilapor stabil dan kini dirawat di Hospital Bukit Mertajam.

Sehubungan itu, polis menahan seorang wanita Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, lelaki berkenaan dan rakan senegaranya menunggang sebuah motosikal untuk ke tempat kerja di tapak pembinaan itu.

“Ketika sampai di kawasan tapak pembinaan, motosikal yang ditunggang mangsa ditahan seorang wanita.

“Sebaik berhenti, wanita itu terus menyimbah sejenis cecair dipercayai petrol ke arah dua lelaki berkenaan, menyalakan api pada sehelai kain serta melemparnya ke arah mereka,” katanya.

Beliau berkata rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa tidak sempat lari menyebabkan dia dan motosikalnya disambar api.

Rusli berkata orang ramai yang berada di situ bertindak memadamkan kebakaran dan menghantar lelaki itu ke Hospital Bukit Mertajam manakala wanita terbabit ditahan oleh orang ramai dan diserah kepada polis.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Bernama

Advertisement