Anda di sini

4WD terjunam 19 meter, tiga sekeluarga nyaris maut

Advertisement

PANTAS: Kelihatan dua anggota bomba sedang mengeluarkan bateri kenderaan mangsa yang terjunam ke gaung dalam kemalangan di KM19 Jalan Marudi-Miri pagi semalam.

MIRI: Tiga sekeluarga nyaris maut apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Lancruiser terbabas sebelum terjunam ke gaung sedalam 19 meter dalam kemalangan di KM19, Jalan Marudi-Miri pagi semalam.

Mangsa Pius Bilong Apoi, 45, isterinya Hilda Sulau Tuchin, 41, dan anak perempuan mereka, Odhylia berusia dua tahun bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Hilda dan Odhylia telah dikejarkan ke Hospital Miri oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala Pius dirawat di tempat kejadian oleh sepasukan paramedik dari Hospital Marudi yang tiba kemudian.

Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi itu, tiga beranak terbabit sedang dalam perjalanan dari Marudi ke Miri.

Setiba di tempat kejadian, kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke gaung sedalam 19 meter dengan kecerunan 65 darjah.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong ketika dihubungi berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Marudi ada menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung insiden itu sekitar jam 9.45 pagi.

Katanya, sepasukan anggota terdiri daripada empat orang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Zulbadar Alior telah bergegas ke lokasi kemalangan.

“Semasa anggota bomba tiba, ketiga-tiganya berjaya keluar dari kenderaan. Dua daripada mangsa dihantar ke Hospital Miri, manakala pemandu dirawat di tempat kejadian oleh pasukan paramedik dari Hospital Marudi.

“Tiada sebarang kebakaran berlaku. Bomba bertindak mengeluarkan bateri kenderaan mangsa untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya sambil tidak menolak punca kejadian dipercayai akibat jalan licin.

Turut bergegas ke tempat kejadian sepasukan polis dari Balai Polis Marudi.

Advertisement