Anda di sini

Isu boikot: Ismail Sabri sedia beri kerjasama kepada polis

Advertisement

Polis akan memanggil beliau untuk diambil keterangan

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung isu kenyataannya berkaitan boikot peniaga yang menjadi viral di laman sosial.

Ismail Sabri sebelum ini telah pun menjelaskan bahawa kenyataannya itu bukan ditujukan kepada peniaga kaum Cina tetapi kepada semua pemborong dan peniaga yang masih tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan.

“Polis menjalankan tanggungjawab, saya sedia beri kerjasama, tiada masalah.

“Setakat ini polis belum hubungi saya, dan apabila tiba tarikh sesuai di pihak saya, saya akan beri ‘statement’ nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media oleh bekas pemimpin dan pemimpin Pemuda UMNO Malaysia bagi menyatakan solidariti dan sokongan kepada Ismail Sabri di sini semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan dalam akaun twitternya bahawa polis akan memanggil Ismail Sabri untuk mengambil keterangan berhubung isu tersebut.

Dalam kenyataannya kelmarin, Ismail Sabri berkata pengguna perlu bersatu untuk memberi tekanan kepada peniaga dalam memastikan harga barangan diturunkan ekoran penurunan harga minyak.

Kenyataannya semalam itu meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang yang dilihat bukan sahaja memberi faedah kepada kaum Melayu tetapi juga pengguna berbangsa Cina.

Sementara itu, kira-kira 200 bekas pemimpin dan pemimpin Pemuda UMNO hadir pada sidang media itu bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.

Wakilnya, Datuk Zulkifli Alwi yang merupakan bekas Setiausaha Kerja Pemuda Umno berkata beliau percaya menteri itu tidak berniat mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan kenyataannya hanya dipolemikkan pihak tertentu.

“Ismail yang kami kenali ialah pemimpin yang mempertahankan rakyat kebanyakan dan marhaen yang tertindas,” katanya. — Bernama

Advertisement